Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, January 1, 2011

Aidil tak sabar bersaing (Harian Metro Online)

Oleh Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my

PEMAIN pertahanan kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak yang menyifatkan dirinya sudah 100 peratus pulih daripada kecederaan, tidak sabar untuk bersaing dengan barisan pemain pertahanan sedia ada bagi mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama skuad negara.

Sambil melahirkan rasa bangga di atas kesungguhan rakan-rakannya menjulang Piala Suzuki AFF buat kali pertama selepas 14 tahun apabila skuad negara menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2, pemain pertahanan Negeri Sembilan itu berkata dia kini sedang dalam proses meningkatkan tahap kecergasannya untuk menghadapi saingan musim ini.

“Tahniah buat rakan-rakan kerana berjaya muncul juara dan mengharumkan nama negara. Walaupun tidak bersama mereka dalam perjuangan itu, saya tetap berasa bangga dengan kejayaan mereka,’” katanya semalam.

Dia terlepas beraksi bersama skuad kebangsaan kerana cedera ketika beraksi di final Piala Malaysia yang menyaksikan Kelantan muncul juara dengan menewaskan Negeri Sembilan, 2-1.

Aidil Zafuan bagaimanapun menyatakan dia tetap gembira apabila pasukan negara bimbingan jurulatih K Rajagobal itu akhirnya dapat menamatkan kemarau menjulang piala paling berprestij di Asia Tenggara itu, sekali gus meletakkan pasukan negara kembali dihormati.

“Kejayaan itu detik gemilang dalam dunia bola sepak kita dan saya yakin skuad kebangsaan mampu meraih lebih banyak kejayaan pada masa depan. Berdasarkan barisan pemain sedia ada, saya yakin kita boleh menjadi pasukan digeruni satu hari nanti bukan saja di rantau ini, malah di Asia.

“Apa yang penting, prestasi ini mesti dikekalkan dan semua pemain mesti berusaha lebih keras untuk memartabatkan sukan bola sepak negara di pentas antarabangsa,” katanya.

Dia bagaimanapun tetap melahirkan rasa terkilan kerana tidak dapat bersama rakan seperjuangan lain beraksi di kejohanan berkenaan untuk merasai sendiri suasana keceriaan kejayaan itu.

Mengulas mengenai perkembangan terbarunya, Aidil Zafuan berkata, dia kini sudah pulih daripada kecederaan lutut dan mula menjalani latihan penuh bersama skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan.

“Kecederaan yang saya alami sudah 100 peratus pulih dan saya kini sedang meningkatkan tahap kecergasan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim 2011,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...