Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, December 10, 2010

Tebus maruah tercalar (Harian Metro Online)

IMPIAN ketua jurulatih kebangsaan, K Rajagobal untuk bertemu Indonesia pada perlawanan akhir bagi menebus maruah turut dinantikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad Shabery berkata ia adalah hasratnya selepas Malaysia dan Indonesia mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir Piala Suzuki AFF.

“Indonesia mungkin mara ke perlawanan akhir dengan mudah berdasarkan kejayaan mengumpul mata penuh di dalam perlawanan peringkat kumpulan serta kemampuan mengalahkan Thailand yang juga adalah juara tiga kali dan salah satu pasukan pilihan.

“Skuad kebangsaan sebaliknya terpaksa berdepan laluan berliku kerana berdepan juara bertahan, Vietnam namun saya yakin kita mempunyai kelebihan tertentu,” katanya semalam.

Menurut beliau, rekod di Sukan Sea Laos ditambah dengan sokongan padu rakyat tempatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil Rabu ini menambah keyakinan pemain mencipta kejayaan.

“Peminat tempatan perlu memenuhi stadium kerana bukan mudah skuad kebangsaan berjaya mara sehingga ke tahap ini terutamanya dengan kejayaan menewaskan Laos pada perlawanan yang bukan saja dianggap hidup mati malah kerana maruah negara,” tambahnya.

Ahmad Shabery menjelaskan beliau akan berjumpa dengan pemain dalam masa terdekat untuk menaikkan semangat dan mengkaji bentuk insentif yang boleh diberikan kepada mereka.

Perlawanan separuh akhir diadakan secara timbal balik dengan Malaysia menjadi tuan rumah kepada Vietnam pada pusingan pertama manakala pusingan kedua diadakan di tempat lawan tiga hari selepas itu dengan satu lagi perlawanan membabitkan Indonesia menentang Filipina.

Malaysia belum pernah memenangi kejohanan ini sejak mula dipertandingkan pada 1996 dengan pencapaian terbaik adalah muncul naib juara pada edisi pertama itu manakala Vietnam muncul pertama kali sebagai juara dua tahun lalu apabila menewaskan Thailand dengan agregat 3-2.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...