Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, December 28, 2010

'Sudah lama kita tidak rasai kemeriahan ini' (Utusan Malaysia Online)

SAYA dan anak-anak adalah antara puluhan ribu penonton yang membanjiri Stadium Bukit Jalil malam Ahad lalu bagi menyaksikan perlawanan akhir pertama Piala AFF Suzuki antara Malaysia menentang Indonesia.

Kehangatan perlawanan ini sudah dapat dirasakan semasa kami menaiki LRT dari Ampang menuju ke Stadium Bukit Jalil. Ramai penyokong Malaysia berbaju kuning tidak kira tua atau muda, dengan mendukung anak kecil, berpusu-pusu menaiki tren ke Stadium Bukit Jalil tanpa mengira bangsa dan agama. Gelagat penyokong-penyokong sambil menyanyi dan menjerit Malaysia Boleh berkumandang setiap kali tiba di stesen untuk mengambil penumpang yang rata-ratanya adalah penyokong Malaysia.

Kehangatan lebih terasa apabila tren sampai ke Bukit Jalil. Jelas dapat dilihat lautan penyokong memakai jersi kuning dan biru sambil membawa bendera memakai topi dan lilitan tertera perkataan Malaysia. Tidak kurang juga penyokong mengecat muka dengan warna bendera Malaysia.

Apabila sampai dalam stadium, dengan lautan penyokong yang sudah sedia ada sejak awal petang, saya amat terharu dan kagum kerana sudah tidak pernah merasai suasana yang begini sejak sekian lama di Malaysia kerana pasukan kebangsaan kita tidak pernah memasuki final sejak lebih 20 tahun.

Kita dapat merasai semangat Malaysia di mana tanpa mengira kaum, bangsa dan agama tua dan muda, semuanya bersatu dengan semangat iaitu menyokong Malaysia. Puluhan ribu penyokong menyanyikan lagu Negaraku yang berkumandang di setiap pelosok stadium.

Alhamdulillah, dengan semangat jitu penyokong pasukan kita menang 3-0. Setiap gol yang dijaringkan disertai dengan jeritan kegembiraan. Walaupun ada segelintir penyokong fanatik membaling dan membakar mercun dan botol air tetapi ia tidak mematahkan semangat penyokong yang lain untuk terus menyokong pasukan Malaysia.

Syabas pasukan bimbingan jurulatih K. Rajagobal dan juga anak-anak buahnya yang begitu tinggi semangat juang bermain walaupun dikekang hebat oleh pasukan Indonesia.

Saya berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat membentuk lagi pasukan yang lebih mantap untuk generasi masa hadapan. FAM mesti mencari satu formula seperti menghantar pemain muda untuk berlatih di luar. FAM boleh bekerjasama dengan kelab Celtic yang baru dibeli oleh tokoh korporat dari Malyasia untuk latihan daripada aspek teknikal,permainan dan juga pemakanan. Ini untuk memantapkan lagi pasukan bagi membarisi pelapis pasukan Malaysia.

Kita tidak perlu pemain atau jurulatih import dengan memberi kewarganegaraan dengan tujuan memantapkan lagi pasukan bola sepak. Kita telah membuktikan anak tempatan pun boleh bermain dengan baik, cuma beri mereka lebih pendedahan serta latihan untuk memantapkan kemahiran.

Bola sepak di tanah air telah lama suram sejak awal 90-an dengan tragedi rasuah dan jurulatih silih berganti. Kritikan demi kritikan daripada penyokong akhirnya kita telah berjaya membentuk sebuah pasukan yang mantap.

Semangat 1Malaysia yang ditunjukan oleh penyokong-penyokong yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil amat membanggakan. Disiplin tinggi ditunjukan oleh penyokong-penyokong kita patut diteruskan.

Syabas sekali lagi untuk pasukan kebangsaan. Kami rakyat Malaysia mendoakan semoga pasukan kita akan menang dalam perlawanan akhir kedua di Jakarta esok.

PEMINAT BOLA SEPAK

Ampang Jaya, Selangor.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...