Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, December 16, 2010

Sime Darby FC letak sasaran layak ke Liga Super (Kosmo Online)


PARA pemain Sime Darby bergambar selepas majlis memperkenalkan pemain di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara semalam.


SASARAN pertama Sime Darby FC pada musim sulung penyertaannya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) telah tercapai apabila mereka muncul juara Liga FAM 2010 seterusnya layak ke Liga Perdana 2011.

Kini menjelang tirai saingan musim baru 2011 bermula pada 15 Januari depan, Sime Darby FC mahu merealisasikan pula sasaran kedua mereka iaitu muncul dua pasukan teratas Liga Perdana seterusnya layak ke Liga Super 2012.

Timbalan Pengerusi Sime Darby FC, Tengku Ahmad Shah Sultan Abdul Aziz Shah yang juga pengurus pasukan berkata, musim 2011 ini cukup penting untuk membolehkan kelab itu turut sama beraksi di pentas Liga Super 2012.

"Apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyatakan bahawa Liga M 2012 bakal menampilkan kelibat pemain import, Sime Darby FC turut tidak mahu ketinggalan untuk menjadi salah satu pasukan dalam Liga Super 2012.

"Jadi kami kini perlu beri fokus sepenuhnya untuk memburu dua kedudukan teratas Liga Perdana biarpun baru pertama kali kami sertai," katanya pada majlis memperkenalkan pemain di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara pagi semalam.

Bagi saingan musim 2011, Sime Darby FC mengekalkan ketua jurulatih, Ismail Zakaria berserta 15 pemain yang membantu mereka menjuarai Liga FAM 2010.

Seramai 10 pemain baru dibawa masuk iaitu Nuraliff Zainal Abidin, Badrul Hisyam Morris (T-Team), Raimi Mohd. Nor, Shahrudin Yakup (Kuala Lumpur), Es Lizuan Zahid Amir (KL Plus), Zulhissyam Jamaluddin (Johor FC), Azrine Efendy Saduddin (Selangor), Yusri Abas (Perlis), Kamarul Afiq Kamaruddin (Felda United) dan Saiful Mustafa (ATM).

Ismail berkata: "Lapan daripada 10 pemain baru ini berpengalaman beraksi dalam Liga Super musim lalu. Jadi saya harap kehadiran mereka membantu memperkukuhkan pasukan musim ini."

Sime Darby FC yang akan menggunakan Stadium MBPJ, Kelana Jaya sebagai gelanggang sendiri mereka sepanjang saingan Liga Perdana musim ini bakal mengadakan beberapa lagi siri aksi persahabatan seperti menentang Negeri Sembilan, Kedah dan Perlis.

Antara pemain lama yang masih dikekalkan Sime Darby FC ialah ketua pasukan, Mohd. Nor Ismail, Redzuan Harun, Faiz Isa, Mohizam Shah Dawood, Razlan Joffri Ali, K. Linggam dan Rizzat Mohd. Nor.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...