Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, December 25, 2010

Semua terpulang kepada pemain (Utusan Malaysia Online)



PEMAIN negara, Mohd. Sabre Mat (kiri) dan Safiq Rahim (dua dari kiri) bersaing dengan pemain Vietnam, Le Tan Tai pada saingan separuh akhir kedua di Stadium My Dinh, Hanoi, kelmarin. - REUTERS


KUALA LUMPUR - Ketua jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal yakin, anak-anak buahnya mampu melakar kejutan lebih besar pada kejohanan Piala Suzuki AFF dan melayakkan diri ke perlawanan akhir bukan kemuncak kejayaan mereka.

Bagaimanapun halangan terbesar mereka untuk menggenggam kejuaraan yang tidak pernah dimenangi itu adalah diri sendiri, sama ada cukup yakin atau tidak untuk merangkul gelaran.

"Apabila kita sudah sampai ke tahap ini (perlawanan akhir), semuanya sebenarnya terserah kepada pemain sama ada mereka bersungguh-sungguh mahu mencipta kemenangan atau sebaliknya.

"Apa yang ingin saya ingatkan pemain tidak boleh terbawa-bawa dengan kemenangan ini, selain perlu mempamer corak permainan yang konsisten dan fokus pada baki dua perlawanan akhir ini," katanya ketika ditemui selepas tiba dari Hanoi, Vietnam semalam.

Tegas Rajagobal, biarpun kejayaan melangkah ke final berjaya mengulangi pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan bola sepak berprestij Asia Tenggara itu, namun pemain tidak harus mudah berpuas hati jika mengimpikan pencapaian yang lebih hebat.

Pada masa yang sama, beliau juga tidak mahu anak-anak buahnya berasa tertekan untuk memenuhi pengharapan tinggi peminat bola sepak tempatan, sebaliknya bermain dengan sepenuh kebebasan dan hanya turun untuk memberikan permainan terbaik.

"Saya nak pemain terus menikmati perlawanan tanpa tertekan.

"Inilah peluang terbaik kita. Kesempatan ini harus digunakan sebaik mungkin kerana kita tidak tahu bila lagi kita akan mendapat peluang keemasan seperti ini," katanya lagi yang turut mengharapkan pemain dapat memberikan sesuatu kepada rakyat Malaysia pada perlawanan akhir itu nanti.

Rajagobal turut memuji kematangan anak-anak buahnya yang tidak mudah melatah selepas dikritik hebat ekoran kekalahan besar 1-5 kepada Indonesia pada perlawanan peringkat kumpulan, sebaliknya mereka bangkit dengan persembahan lebih baik pada baki saingan dalam laluan menuju ke perlawanan akhir.

"Walaupun tewas pada perlawanan pertama kepada Indonesia dan dikritik, pemain terus mempamerkan peningkatan apabila menentang Thailand (0-0) dan Laos (5-1) serta seterusnya menyingkirkan juara edisi 2008 dan tuan rumah Kumpulan B, Vietnam.

"Kunci kejayaan kita adalah pemain yang disiplin tinggi, mengikut arahan jurulatih serta kemahuan untuk pergi ke peringkat yang lebih tinggi," jelasnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...