Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, December 16, 2010

Selangkah ke perlawanan akhir (Utusan Malaysia Online)


Safee Sali (tengah) meraikan kejayaan menjaringkan gol pertama bersama Amirul Hadi Zainal (kiri) dan S. Kunanlan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.


KUALA LUMPUR – Malaysia kini bagaikan sebelah kaki ke perlawanan akhir apabila cemerlang membenam juara bertahan, Vietnam 2-0 pada separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010, terima kasih kepada Safee Sali yang menjaringkan dua gol pada minit ke-65 dan 83.

Dalam aksi penuh mendebarkan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Safee dan kapten Safiq Rahim layak diangkat sebagai wira apabila rangkaian dua `S' itu menjadi nadi kemenangan negara.

Pada ketika penat beraksi di Bukit Jalil masih belum hilang, skuad negara terpaksa berlepas ke Hanoi hari ini untuk aksi separuh akhir kedua, Sabtu ini.

Dalam perlawanan semalam, gol pertama hadir pada minit ke-65 berpunca dari sepakan percuma Safiq yang bijak dikesan Safee sebelum melakukan tandukan mengelirukan penjaga gol Vietnam, Bui Tan Truong.

Tujuh minit sebelum permainan tamat, 50,000 penyokong negara bersorak apabila Safee memastikan Malaysia mendapat bekalan selesa sebelum beraksi di Hanoi, Sabtu ini apabila menyambar peluang terhidang di hadapan gol Vietnam hasil bola muntah selepas percubaan Safiq ditampan Tan Truong.

Apa yang pasti, perlawanan semalam boleh dianggap aksi terbaik skuad negara sepanjang saingan Piala Suzuki AFF 2010 dengan permainan kemas dan pantas berjaya ditunjukkan anak-anak buah K. Rajagobal.

Rajagobal tidak banyak melakukan rombakan dalam skuad yang diturunkan ketika berdepan Laos dalam aksi terakhir kumpulan, kecuali kembali menurunkan Mohd. Asraruddin Putra Omar di bek kiri menggantikan Mohd. Sabre Mat Abu, selain Safee menggantikan Mohd. Amri Yahyah.

Harimau Malaya mencipta peluang pada minit ke-10 melalui gerakan lincah S. Kunanlan yang bijak menghidu kedudukan Safee dalam kotak penalti sebelum melorong bola kepada penyerang Selangor itu, namun dia menyepak lemah.

Penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat cemerlang menafikan hajat Vietnam untuk memperoleh gol pertama selepas menepis percubaan Nguyen Minh Phuong dari jarak dekat, di minit ke-15.

Pada minit ke-26, Malaysia semakin mengasak yang bagaimanapun disia-siakan Safee sekali lagi apabila rembatan leretnya tersasar di sebelah kiri pintu gol Vietnam.

Selepas separuh pertama buntu tanpa sebarang gol, Vietnam lebih banyak menguasai awal permainan babak kedua tetapi gandingan Mohd. Muslim Ahmad dan Mohd. Fadhli Shas berjaya mematahkan serangan lawan.

Saat yang dinantikan akhirnya tiba pada minit ke-65 menerusi Safee yang menggamatkan seluruh Stadium Nasional sebelum dia meledak gol kedua pada minit ke-83 bagi memastikan Malaysia berpeluang cerah layak ke perlawanan akhir buat kali kedua semenjak tahun 1996.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...