Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, December 25, 2010

Sathia kagum aksi anak didik (Kosmo Online)


SATHIANATHAN


KETUA Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan mahu dua tunggaknya yang beraksi bersama skuad kebangsaan pada Kejohanan Piala AFF Suzuki 2010 terus memberikan aksi terbaik menjelang perlawanan akhir pertama antara Malaysia dengan Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini.

Menurutnya, dia bangga dengan persembahan dua pemainya iaitu Norshahrul Idlan Talaha dan Khairul Fahmi Che Mat yang disifatkan telah mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan tersebut.

"Saya bangga dengan apa yang telah ditunjukkan dan berharap mereka berdua mampu mengekalkan aksi tersebut untuk perlawanan akhir pertama ini.

"Inilah peluang terbaik buat Norshahrul dan Khairul Fahmi membuktikan kemampuan beraksi di pentas antarabangsa," katanya ketika dihubungi di Kota Bharu, semalam.

Tambahnya, dia yakin dua pemainnya itu mampu membantu skuad negara menjulang kejuaraan buat kali pertama sejak ia diperkenalkan pada tahun 1996.

B.Sathianathan pernah menggalas tugas sebagai jurulatih kebangsaan bermula 2006 hingga 2009.


NORSHAHRUL (kanan), penyerang Kelantan yang menjadi kepercayaan jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal (kiri).


Mengulas mengenai peluang pasukan Malaysia pada perlawanan akhir pertama Ahad ini, Sathianathan melahirkan keyakinan bahawa barisan muda negara mampu melakarkan kejutan selepas kecewa dalam beberapa edisi terdahulu.

“Saya yakin pasukan kita mempunyai peluang cerah pada saingan kali ini berdasarkan apa yang telah mereka tunjukkan sepanjang kejohanan ini berlangsung.

“Untuk perlawanan itu, saya harap semua pemain dapat memberikan tumpan penuh pada perlawanan tersebut dan mengikut apa yang telah diarahkan oleh jurulatih, K. Rajagobal," ujarnya.

Menyentuh mengenai persiapan pasukan The Red Warriors untuk saingan musim hadapan, Sathianathan menjelaskan semua perancangan berjalan dengan lancar.

Menurutnya, Kelantan akan mengadakan empat siri perlawanan persahabatan di Lembah Klang bermula pada 27 Disember ini.

“Pada 27 Disember, kita akan menentang Harimau Muda, sehari selepas itu, PKNS dan Felda United pada 29 Disember sebelum menutup tirai perlawanan dua hari kemudian bertemu Sime Darby.

“Perlawanan persahabatan ini akan menjadi medan buat saya untuk memilih skuad bayangan bagi menghadapi saingan musim hadapan,” ujarnya.

Tambahnya, inilah peluang terbaik buat semua pemain untuk membuktikan bahawa mereka sudah bersedia untuk menggalas cabaran musim hadapan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...