Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, December 12, 2010

Safee sudah pulih sepenuhnya (Kosmo Online)


SAFEE (depan) kembali berlatih seperti biasa dengan skuad kebangsaan semalam selepas disahkan pulih sepenuhnya daripada kecederaan.


PENYERANG skuad kebangsaan, Safee Sali sudah pulih daripada kecederaan dan kembali turun menjalani latihan di padang Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Kehadiran penyerang Selangor itu pasti memberi banyak pilihan kepada juru- latih kebangsaan, K. Rajagobal untuk menyenaraikan kesebelasan utamanya menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Rabu ini.

Safee, 26, mengalami kecederaan betis ketika bertemu Thailand, 4 Disember lalu dan tidak diturunkan ketika Malaysia membelasah Laos 5-1 pada aksi terakhir Kumpulan A, Selasa lalu.

Turut membawa perkhabaran gembira kepada Rajagobal ialah tiga pemainnya yang demam ketika berada di Jakarta iaitu Fadhli Shas, Asraruddin Putra Omar dan Razman Roslan, juga sudah pulih.

Namun Rajagobal, 54, berkata, beliau hanya akan menentukan kesebelasan utamanya selepas perlawanan pemanas badan menentang skuad Liga Super Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada pukul 5 petang ini.

“Safee sudah boleh berlatih hari ini (semalam). Tetapi saya mahu lihat sama ada dia mampu beraksi menentang Kuala Lumpur esok (hari ini). Memang susah untuk dia kembali kepada prestasi terbaik selepas mengalami kecederaan otot betis.

“Hanya selepas menentang Kuala Lumpur ini barulah saya akan membuat rumusan siapa pemain yang bersedia untuk menentang Vietnam,” kata Rajagobal ketika ditemui Kosmo! pada sesi lati- han petang semalam.

Biarpun baru turun berlatih selepas skuad negara pulang dari Jakarta awal pagi Khamis lalu, Rajagobal sudah pun ‘mengerah’ kesemua 22 pemainnya dengan latihan taktikal simulasi menghadapi corak permainan Vietnam.

“Semua tahu Vietnam kuat di semua posisi. Mereka juga pasti tampil dengan lebih yakin. Lapan puluh peratus pemain mereka kali ini pernah beraksi pada Piala Suzuki AFF 2008.

“Kita pula dibarisi majoriti pemain muda. Jadi saya harap pemain kita turun dengan keyakinan tinggi dan gunakan setiap peluang yang terhidang. Cuma kita jangan terlalu beri tekanan kepada pemain,” jelas Rajagobal.

Malaysia perlu menggunakan sepenuhnya aksi di laman sendiri Rabu ini sebelum aksi kedua di Hanoi pada Sabtu memandangkan format jaringan di tempat lawan diaplikasikan pada saingan kali ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...