Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, December 17, 2010

Safee puas kurangkan beban (Utusan Malaysia Online)


Safee Sali meraikan kejayaan menjaringkan gol ketika membantu Malaysia menumpaskan Vietnam 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.


SEPANG - Bagaikan beban yang berkurangan, itulah yang diungkapkan penyerang kebangsaan, Safee Sali selepas menjaringkan dua gol untuk membantu kemenangan 2-0 Malaysia ke atas Vietnam pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF kelmarin.

Penyerang kelahiran Kajang itu mengakui, penantian dua tahun tidak menjaringkan gol di peringkat antarabangsa bagaikan satu bebanan besar buatnya selepas kali terakhir menyumbang gol buat pasukan kebangsaan pada Piala Suzuki AFF 2008 di Phuket.

"Saya rasa amat puas. Kali ini saya dapat menjaringkan dua gol sekali gus, ia adalah atas usaha keras semua pemain tetapi perjuangan saya masih belum selesai. Perlawanan separuh akhir kedua adalah tugas penting yang perlu dibereskan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) awal pagi semalam.

Jelasnya lagi, selama dua tahun beraksi untuk pasukan Malaysia tanpa menjaringkan sebarang gol, fikirannya sentiasa terganggu dan sedikit sebanyak ia melemahkan semangatnya.

Namun, dia tidak mudah menyerah kalah sehinggalah berjaya membuktikan ketajamannya masih ada di depan hampir 50,000 penyokong Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Sekarang ini saya rasa sedikit lega dan ia menambahkan keyakinan saya. Harap saya dapat berterusan membantu Malaysia melayakkan diri ke saingan akhir, sekali gus merangkul gelaran sulung kejohanan ini.

"Saya akui pada perlawanan semalam (kelmarin) saya sentiasa berusaha dan tidak berputus asa walaupun gagal menjaringkan gol pada separuh masa pertama, begitu juga pada peringkat kumpulan di Indonesia sebelum ini," katanya.

Pemain berusia 26 tahun itu berkata, dia akan cuba tampil pada perlawanan separuh akhir kedua dengan lebih berhati-hati berikutan menerima kad kuning kelmarin, tambahan pula aksi di Hanoi dijangka lebih agresif.

"Saya tidak pernah beraksi di sana, menurut apa yang dikhabarkan oleh jurulatih dan pegawai pasukan, keadaan cuaca agak sejuk. Saya rasa ia bukan satu masalah besar buat saya dan pemain-pemain lain.

"Kami mungkin akan memakai baju lengan panjang dan saya menjangkakan persediaan untuk perlawanan itu bakal berjalan lancar. Kami perlu mencari peluang untuk menjaringkan gol untuk memiliki kelebihan gol di tempat lawan," katanya.

Safee menjaringkan dua gol pada perlawanan menentang Vietnam iaitu pada minit ke-65 dan 83. Kali terakhir dia menjaringkan gol di peringkat antarabangsa ialah ketika bertemu Laos di peringkat kumpulan pada 2008.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...