Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, December 17, 2010

Safee menanti dua tahun untuk mengakhiri kemarau (Kosmo Online)

DUA jaringan Safee Sali ketika Malaysia menewaskan Vietnam 2-0 pada separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 malam kelmarin bukan saja memberi bekalan berguna menjelang aksi kedua di Hanoi malam esok.

Malah ia turut dapat mengurangkan bebanan yang terpaksa dipikul penyerang Selangor itu setelah dia gagal menjaringkan sebarang gol pada perlawanan antarabangsa sejak dua tahun yang lalu.

Kali terakhir Safee, 26, menjaringkan gol untuk skuad kebangsaan ialah ketika Malaysia menewaskan Laos 3-0 pada aksi peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF 2008 di Phuket, Thailand yang menyaksikan dia menjaringkan dua gol.

"Pada setiap perlawanan, jika penyerang gagal menjaringkan gol, ia umpama satu tugas yang belum selesai. Inikan pula saya yang sudah dua tahun tidak menjaringkan gol di pentas antarabangsa.

"Sudah tentu perkara tersebut telah mengganggu fikiran saya setiap kali turun beraksi dan sedikit sebanyak ia telah menjejaskan mental.

"Alhamdulillah, dengan usaha keras akhirnya kemarau ini telah berakhir dan dua gol tersebut meningkatkan semula tahap keyakinan saya," kata Safee ketika ditemui Kosmo! di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang awal pagi semalam.

Skuad kebangsaan berlepas ke Hanoi pada pukul 6.25 pagi semalam dengan menaiki pesawat AirAsia hanya kurang sembilan jam setelah mereka menumbangkan Vietnam 2-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Justeru pemain kelahiran Kajang, Selangor itu berharap agar rentak jaringannya itu dapat diteruskan pada aksi separuh akhir kedua di Stadium My Dinh, Hanoi malam esok bagi membawa Malaysia mara ke final.

"Saya tidak pernah putus asa dan tidak pernah putus harapan untuk terus menyumbang tenaga kepada pasukan kebangsaan. Kali ini saya bertekad membawa Malaysia ke final dan muncul juara buat kali pertama.

"Tapi saya perlu berhati-hati kerana sudah mengutip satu kad kuning semalam (kelmarin). Keadaan bingit membuatkan saya tidak dengar wisel telah ditiup pengadil dan tak sangka pula terus dilayangkan kad kuning," jelasnya.

Ditanya kemungkinan dia akan dikawal ketat pertahanan Vietnam malam esok, Safee berkata: "Saya sudah bersedia dengan situasi itu. Jika mereka pilih untuk mengawal saya, sudah pasti ia beri lebih ruang kepada Norshahrul Idlan Talaha untuk mencipta peluang."

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...