Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, December 29, 2010

Rakyat Indonesia diserang euforia, sukar terima kekalahan Garuda (Berita Harian Online)

Oleh Jeniri Amir

2010/12/29

KETIKA bertolak ke Jakarta petang Sabtu lalu, saya terserempak Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Andy Mallarangeng dan penyanyi Ayat-Ayat Cinta, Rossa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama kenamaan serta selebriti lain memberi sokongan kepada pasukan Garuda di Stadium Bukit Jalil, malam Ahad lalu. Garuda tewas diterkam Harimau Gagah Malaya dengan jaringan 0-3. Indonesia tersentak dengan kekalahan itu kerana mereka yakin meraih kemenangan.

Prestasi Indonesia yang meningkat dan kejayaannya ke perlawanan akhir menyaksikan 240 juta rakyatnya demam bola. Sejak beberapa minggu lalu daripada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono di Istana Merdeka hingga rakyat biasa di 33 wilayah dicengkam euforia luar biasa. Media massa terutama stesen televisyen asyik memperkatakan kejayaan mereka dalam Piala Suzuki AFF 2010. Rancangan bicarawara yang biasanya menampilkan artis dan ahli politik, digantikan dengan bicara bola. Pasukan bimbingan Alfred Riedi dipuja melambung dan diraikan makan siang di rumah menteri, selain mendapat liputan meluas media, serta diberi ganjaran besar.

Prestasi Garuda yang meningkat mendadak sepanjang pertandingan membantu menyemarakkan kegilaan, selain dibantu kehadiran pemain naturalisasi seperti Cristian Gonzales dari Urugay yang berkahwin dengan gadis Indonesia. Semarak itu semakin menggila dengan pernikahan penjaga gawang, Markus Harison dengan artis sinetron Kiki Amalia baru-baru ini. Pertembungan antara Malaysia-Indonesia memang mengasyikkan di sebalik ketegangan hubungan diplomatik beberapa bulan lalu disebabkan pelbagai isu seperti dakwaan penciplakan tarian dan lagu Indonesia dan demonstrasi Bendera di Jakarta. Beberapa hari lalu, entah apa motifnya, akhbar nasional Republika menampilkan dapatan jejak pendapat, menyatakan 59.2 peratus rakyat Indonesia tidak suka Malaysia, manakala 67.5 peratus menganggap hubungan negara tetangga yang sering dilabelkan serumpun itu tidak baik.
Menjelang perlawanan Ahad lalu, saya berkesempatan ke Gandaria City, pusat beli-belah terbaru dan termoden daripada lebih 100 pusat beli-belah moden di kota Jakarta, berpenduduk 12 juta.

Saya belum pernah melihat keghairahan dan euforia luar biasa seperti itu di negara kita apabila pencandu bola sepak memakai topi dan kemeja-T merah berbondong menyaksikan perlawanan melalui layar lebar di luar pusat-beli-belah hebat itu. Pekikan mereka begitu membingitkan telinga, lebih-lebih lagi ketika pintu gol Malaysia diasak penyerang Indonesia. Siaran langsung dipancarkan stesen televisyen RCTI ke seluruh Indonesia. Menjelang jam enam lagi, pelbagai persembahan diadakan termasuk nyanyian lagu Garuda di Dadaku oleh Netral diambil daripada rentak lagu daerah, dengan seni kata, ‘Garuda di dadaku/Garuda kebanggaanku/Ku yakin hari ini pasti menang.’ Anda bayangkan perasaan saya ketika teriakan bersemangat ribuan peminat bola Indonesia itu? Saya faham betapa bersemangatnya rakyat Indonesia menyokong pasukan mereka. Semangat nasionalisme dan patriotisme rakyatnya begitu tinggi.

Di merata tempat juga disediakan televisyen yang menarik perhatian peminat termasuk di hotel lima bintang atau pedalaman. Ketika balik ke tempat kediaman sebelum berakhirnya perlawanan, perjalanan teksi yang membawa saya terhalang kerana penduduk memasangkan layar lebar. Akhirnya, saya terpaksa berdiri bersama ribuan penduduk di Jakarta Selatan, dengan penuh debaran apabila satu demi satu gol disumbatkan ke gawang Indonesia. Rakyat Indonesia begitu yakin akan kemenangan Garuda. Jadi, apabila Garuda kecundang dalam jumlah gol yang tidak terfikirkan oleh mereka, bayangkan kesan emosi terhadap peminatnya? Tidak hairanlah, Presiden Indonesia dan seluruh rakyatnya begitu kecewa dan kempunan. Seluruh Indonesia diselubungi kesedihan, tetapi tetap menyimpan impian membalas dendam di Senayan, Jakarta malam nanti. Sementara media massa Indonesia menyalahkan tembakan laser ke arah mata penjaga gol dan penyerang Indonesia pada saat genting sehingga permainan tertunda lima minit. Baca saja kritikan pedas dan luahan kecewa mereka di alam maya, termasuk blog, Facebook dan Twitter.

Namun, mereka tidak menafikan pencapaian anak buah Rajagobal lebih hebat. Misalnya, pengulas bola RCTI, Tommy Welly mengakui permainan Malaysia tepat, kejap, jitu dan kompak, berbeza daripada perlawanan ketika kalah 0-5 kepada Indonesia di Jakarta pada pusingan awal. Indonesia dikatakan bermain di bawah mutu permainan sebenar dan berprestasi rendah.

Pengulas berkenaan melontarkan soalan, masih adakah sinar harapan untuk Indonesia bangkit? Beliau mengakui ini menuntut satu keajaiban dan cabaran besar bakal dihadapi di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta yang mampu memuatkan 80,000 penonton. Ahad lalu, ketika tiket dijual di stadium, peminat merusuh dan membongkar pagar pembatas penonton. Seorang penjaga tiket cedera dibelasah dan dibawa ke hospital. AFF mengancam membatalkan final di stadium berkenaan gara-gara tindakan peminat terbabit. Di stadium inilah, pasukan Malaysia pasti menerima tekanan di hadapan 80,000 peminat fanatik.

Mampukah Malaysia mempertahankan prestasi dan menambah gol? Dengan semangat Malaysia Boleh, bukan mustahil membawa pulang piala berprestij itu. Mereka membuktikannya sebelum ini dan dengan keyakinan tinggi, 27 juta rakyat tentu ingin meraikan kemenangan yang lama tidak dikecapi.

Penulis ialah pensyarah kanan Universiti Malaysia Sarawak

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena