Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, December 10, 2010

Rajagobal tidak gentar jumpa mana-mana pasukan termasuk Vietnam (Utusan Malaysia Online)

KUALA LUMPUR - Hajat untuk ke separuh akhir sudah terlaksana, kini persoalannya mampukah Harimau Malaya kembali mengulangi pencapaian tahun 1996, layak ke perlawanan akhir dan seterusnya mencipta sejarah memenangi Piala AFF buat kali pertama?

Semalam, skuad kendalian K. Rajagobal sudah kembali pulang ke tanah air selepas misi melayakkan diri ke separuh akhir yang sebelum ini dilihat mustahil berjaya diatasi hasil kemenangan besar ke atas Laos 5-1 dan di samping bantuan Indonesia mengalahkan Thailand 2-1.

Tanpa mahu memikirkan siapa lawan di peringkat seterusnya, Rajagobal berkata, beliau tidak gentar berdepan dengan mana-mana pasukan sama ada Vietnam (pada separuh akhir), Singapura atau Filipina kerana yakin terhadap kemampuan pemainnya.

''Bagi kita masuk separuh akhir ini pun telah dianggap satu kejayaan kerana kami sebelum ini tidak meletakkan sebarang sasaran.

''Saya langsung tidak memikirkan siapa kami akan jumpa kerana bagi saya semua pasukan adalah sama dan kami harus yakin dengan kekuatan sendiri,'' katanya ketika dihubungi sejurus sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur, semalam.

Bertambah menggembirakan hati Raja, dia berkata, kebanyakan pemain muda terutamanya di bahagian pertahanan semakin mempamerkan kematangan yang tinggi.

''Anda sendiri boleh lihat pertahanan negara kita rata-rata terdiri daripada pemain muda dan tidak boleh dibandingkan dengan negara lain malah skuad ini hanya membariskan dua sahaja pemain senior iaitu Mohd. Amri Yahyah dan Safee Sali ekoran krisis kecederaan di kalangan pemain utama.

"Bukan sesuatu yang mudah bermain tanpa kesebelasan utama dan setiap permainan saya terpaksa merombak senarai pemain, hanya orang yang tahu bola sepak sahaja yang memahaminya,'' katanya.

Skuad negara akan diberi pelepasan sehari sebelum melaporkan diri pada 10 Disember sebelah petang dan mula menjalani latihan pada keesokan harinya.

Mengenai perkembangan kecederaan betis yang dialami Safee, Rajagobal berkata, dia akan memantau lebih dekat pada hari pertama latihan nanti.

Rajagobal kelihatan tidak teruja dengan kelebihan bermain di tempat sendiri pada timbal balik separuh akhir pertama pada 15 Disember ini.

''Vietnam yang bermain di hadapan puluhan ribu penyokong pun boleh tumbang di tangan Filipina, jadi saya anggap itu sebagai satu kelebihan, apa yang penting adalah aksi di atas padang, '' katanya.

Malaysia akan beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu depan sebelum terbang ke Vietnam pada 18 Disember ini untuk separuh akhir kedua di samping tiada peraturan gol di tempat lawan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...