Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, December 10, 2010

Rajagobal tenang (Harian Metro Online)

Oleh Azlan Muhammad Zain

IMBAS KEMBALI...Mohamad Muslim menghalang penyerang Indonesia, Maman Abdul Rahman (kanan) mara melakukan serangan pada perlawanan pembukaan, minggu lalu.
IMBAS KEMBALI...Mohamad Muslim menghalang penyerang Indonesia, Maman Abdul Rahman (kanan) mara melakukan serangan pada perlawanan pembukaan, minggu lalu.

KEJAYAAN mara ke separuh akhir Piala Suzuki AFF tidak menghidangkan tekanan buat skuad bola sepak kebangsaan.

Ketua jurulatih kebangsaan, K Rajagobal membayangkan Vietnam sebaliknya kini tertekan kerana perlu mempertahankan kejuaraan dimenangi dua tahun lalu.

“Bagi kami ini peluang terbaik mencipta sesuatu. Saya pesan kepada pemain supaya jangan takut atau tertekan pada perlawanan itu,” katanya.

Menurut Rajagobal, pada pengamatannya, skuad bimbingan jurulatih Henrique Calisto itu mempunyai corak permainan pantas berdasarkan tiga perlawanan peringkat kumpulan menentang Filipina, Singapura dan Myanmar sebelum ini.

“Saya mengarahkan pemain mengawal beberapa pemain utama lawan yang boleh mengancam peluang kita namun peminat juga harus menghadirkan sesuatu positif walau apapun keputusan perlawanan.

“Skuad ini masih muda dengan membariskan pemain seawal usia 19 tahun dan ia proses pembelajaran berbanding lawan yang sudah mempunyai pelbagai pengalaman di peringkat antarabangsa,” katanya.

Rajagobal bagaimanapun turut mengharapkan pemain mempamerkan permainan konsisten sejak wisel permulaan selain mengambil kesempatan kesilapan lawan pada perlawanan pusingan pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu ini.

“Saya tidak mahu permainan seperti menentang Laos berulang kerana permainan kita hanya baik pada babak kedua saja,” jelasnya.

Bekas jurulatih Selangor dan Kelantan itu turut dibelenggu masalah kecederaan penyerang membabitkan Safee Sali selain Asraruddin Putra Omar, Razman Roslan dan Fadhli Mohd Shas yang demam.

Sepanjang kejohanan yang mula dipertandingkan pada 1996, Malaysia dan Vietnam bertemu lima kali. Skuad kebangsaan hanya mencatat satu kemenangan pada 2000 pada perlawanan penentuan tempat ketiga manakala tiga perlawanan lagi tewas selain meraih satu keputusan seri.

Pada saingan tahun ini, Malaysia mara ke perlawanan separuh akhir selepas muncul naib juara Kumpulan A di belakang Indonesia manakala Vietnam menjuarai Kumpulan B selepas mencatatkan dua kemenangan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...