Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, December 18, 2010

Raja enggan terlalu yakin (Harian Metro Online)

Oleh Lokman Zainal Abidin
lockman@nstp.com.my

MALAM ini, Malaysia memburu tempat di perlawanan akhir saingan Piala Suzuki AFF 2010 dan satu-satunya perkara yang boleh menafikan impian itu ialah andai skuad bimbingan ketua jurulatih K Rajagobal itu tewas kepada tuan rumah, Vietnam dengan jumlah jaringan sekurang-kurangnya 3-0.

Jumlah jaringan sebesar itu mungkin dilihat terlalu besar dilepaskan pemain kebangsaan tetapi di Stadium Nasional MyDinh, Hanoi, tidak mustahil dilakukan Vietnam yang pastinya mendapat sokongan padu penonton tempatan.

Bekalan dua gol hasil kemenangan 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil boleh dianggap cukup tetapi Vietnam yang juga juara bertahan kejohanan, bukanlah pasukan yang boleh dipandang mudah tambahan pula mereka akan kembali mendapat khidmat pemain tengah, Nguyen Trong Hoang yang sebelum ini menjalani hukuman penggantungan.

Dua pemain yang tidak diturunkan ketika separuh akhir pertama di Bukit Jalil lalu akibat kecederaan, Doan Viet Cuong dan Phan Van Tai Em juga sudah boleh bermain dan ketua pengendali, Henrique Calisto boleh mengharapkan sesuatu yang positif daripada kehadiran ketiga-tiga pemain tonggaknya itu.

“Tidak mustahil kami melenyapkan kelebihan lawan di Hanoi. Kami perlu percaya pada diri sendiri meskipun tidak mudah melakukannya,” kata Calisto.

Rajagobal pula menggesa anak buahnya menggunakan kelebihan bagi merealisasikan impian ke perlawanan akhir buat kali pertama sejak edisi pertama Piala Suzuki AFF iaitu pada 1996. Pada perlawanan itu, Malaysia tewas 1-0 kepada Thailand hasil jaringan Kiatisuk Senamuang.

“Masih ada 90 minit lagi dan ia bukanlah mudah. Saya perlu menyediakan pelan yang betul.

“Semua pemain sedar inilah saat terbaik untuk layak ke akhir. Mereka perlu mengambil kesempatan ini. Kami hormati Vietnam kerana selain beraksi di tempat mereka, suasana perlawanan juga tidak sama dengan Bukit Jalil,” katanya.

Apa yang penting, katanya, pemain perlu bangkit daripada rasa selesa dan melupakan seketika kejayaan di Bukit Jalil.

“Tugas kami belum selesai. Pemain tidak boleh leka dan perlu segera menumpukan perhatian kepada perlawanan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena