Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, December 26, 2010

Penyokong perlu jaga kelakuan di stadium (Kosmo)


TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyeru para penyokong yang hadir ke Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini memberi sokongan padu kepada skuad negara yang akan menentang Indonesia pada final pertama Piala AFF Suzuki 2010.

Baginda yang mengakui akan turut sama menyaksikan perlawanan itu juga berpesan agar mereka berkelakuan baik supaya perlawanan berkenaan dapat berlangsung dalam suasana harmoni.

"Saya berharap penyokong-penyokong Malaysia dapat beri sokongan padu.

"Jangan berbelah-bahagi. Jangan boo pemain-pemain kita dan lebih penting harus bersabar serta jangan bertindak luar batasan kerana ini akan beri gambaran tidak baik kepada penyokong kita," katanya pada sidang akhbar selepas melawat satu keluarga mangsa kebakaran di Lorong Selamat 10, Tanjung Api, Kuantan semalam.

Tambah Tengku Abdullah, peminat bola sepak di negara ini dilihat sebagai penyokong yang baik dan berharap mereka terus mengekalkan prestasi itu.

Dalam pada itu, baginda menyatakan penonton yang hadir ke stadium juga tidak perlu bimbang mengenai tahap keselamatan di situ kerana kawalan diberikan adalah baik.

"Mengenai keselamatan kita tidak perlu risau. Pihak polis telah arah bilangan besar bagi anggota dan saya percaya mereka tahu apa yang perlu dilakukan," katanya.

Mengulas mengenai persiapan Indonesia, baginda menegaskan skuad negara tidak perlu mengambil kira siapa yang tercedera dalam pasukan lawan itu tetapi sebaliknya mementingkan kekuatan dan corak permainan skuad negara sendiri pada malam ini.

"Bukan patut kita risau siapa yang cedera tetapi perlu kita tentukan corak permainan kita akan nampak kemas dan menjaring (gol) sebanyak yang boleh.

"Kemenangan malam esok (malam ini) amat penting kerana kita akan beraksi di Indonesia pada malam 29 Disember ini. Kalau kita bawa bilangan gol yang selesa mungkin ia memihak kepada kita untuk menjuarai Piala AFF Suzuki ini," katanya.

Jelas baginda, sasaran gol yang diharapkan daripada skuad negara pada perlawanan itu ialah 3-0 supaya para pemain lebih selesa dan sekali gus menutup pintu kemenangan buat Indonesia.

Dalam perkara berkaitan, ujar baginda, imbuhan yang bakal diberikan kepada skuad negara bakal bertambah jika mereka meraih kejayaan dan sehingga kini FAM dan individu tertentu telah pun menyalurkan sebanyak setengah juta ringgit.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena