Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, December 5, 2010

Pemain Kelantan dapat 'bonus'


SKUAD bola sepak Kelantan bakal menerima imbuhan berjumlah RM200,000 sebagai menghargai kejayaan mereka menjuarai Piala Malaysia musim ini.


KERAJAAN Kelantan akan menunaikan janji memberi imbuhan RM200,000 kepada pemain skuad The Red Warriors selepas menjuarai Piala Malaysia musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri, Abdul Fatah Mahmood berkata, insentif itu adalah sebagai menghargai pemain Kelantan yang membawa pulang piala berprestij itu ke Kelantan setelah menunggu hampir 80 tahun.

Menurutnya, majlis penyerahan imbuhan itu akan diadakan dalam tempoh terdekat selepas mendapat ketetapan tarikh daripada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA).

"Anugerah itu diluluskan dalam mesyuarat Exco hari ini (semalam) dan kita tunggu pihak KAFA untuk adakan majlis makan bagi penyerahan anugerah wang itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan Kelantan di Kota Bharu semalam.

Kelantan muncul juara Piala Malaysia selepas menewaskan juara bertahan, Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 30 Oktober lalu.

Gol Kelantan dijaringkan oleh Hairuddin Omar minit ke-57 dan Mohd. Badri Radzi minit ke-64 manakala gol Negeri Sembilan dijaringkan oleh Shahurin Abu Samah menerusi sepakan penalti minit ke-12.

Abdul Fatah berkata, kerajaan negeri menyerahkan kepada kebijaksanaan KAFA untuk membahagikan wang tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, mesyuarat Exco turut meluluskan pelupusan cukai lima peratus terhadap 13 perlawanan bola sepak antara April dan September terhadap KAFA yang berjumlah RM120,794.

Katanya, sebelum ini kerajaan negeri telah melupuskan cukai yang sama berjumlah RM257,546 pada April lepas.

"Dengan pelupusan terbaru itu, kerajaan negeri telah melupuskan cukai sebanyak RM378,341 sebagai sumbangan kerajaan negeri kepada pembangunan sukan bola sepak Kelantan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...