Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, December 25, 2010

Muslim akan pastikan Gonzales dirantai (Kosmo Online)




PENYERANG berasal dari Uruguay, Cristian Gonzales boleh dianggap sebagai nadi utama jentera serangan Indonesia sepanjang kempen Piala AFF Suzuki 2010.

Andai pendahulu senarai penjaring terbanyak itu dapat dirantai pergerakannya, ia pasti akan melumpuhkan jentera hadapan Indonesia ketika menghadapi Malaysia pada aksi final timbal balik Ahad ini dan Rabu depan.

Bagi pemain pertahanan tengah skuad kebangsaan, Muslim Ahmad (gambar), dia menamakan Gonzales, 34, dan pemain sayap Indonesia, Oktovianus Maniani, 20, sebagai dua pemain yang perlu dikawal rapi olehnya serta tiga rakan pertahanan, Fadhli Shas, Sabre Mat Abu dan Asraruddin Putra Omar.

"Gonzales merupakan kunci utama kekuatan pasukan Indonesia. Selain itu, Oktovianus juga perlu disekat kelincahannya menerusi gerakan dari bahagian sayap.

"Misi kami adalah mencari bekalan gol yang selesa untuk dibawa ke Jakarta pada Rabu depan. Pengalaman beraksi di Slovakia bersama Harimau Muda A banyak membantu saya terutama untuk memberi cabaran fizikal kepada lawan.

"Final ini merupakan peluang terbaik untuk kami menebus kekalahan 1-5 pada aksi sulung 1 Disember lalu. Kami akan ikut segala arahan jurulatih (K. Rajagobal) dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sebelum ini," kata Muslim.

Pemain muda berusia 21 tahun berasal dari Terengganu itu merupakan salah seorang daripada dua pemain Malaysia yang beraksi sepenuh masa (450 minit) dalam lima perlawanan setakat ini selain kapten, Safiq Rahim.

Turut beraksi penuh sepanjang kejohanan ini ialah dua pemain Indonesia iaitu penjaga golnya, Markus Harison Rihihina dan pemain pertahanan, Maman Abdurahman.

Tambah Muslim: "Secara peribadi, saya berjanji akan mempamerkan satu permainan paling baik pada kedua-dua perlawanan akhir nanti untuk mencipta sejarah menjulang Piala AFF Suzuki buat kali pertama."

Skuad kebangsaan yang diberi rehat selama dua hari selepas pulang dari Hanoi, Vietnam kelmarin akan menyambung semula sesi latihan di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula hari ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...