Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, December 27, 2010

Malaysia Garang (Kosmo)



SAFEE SALI (tengah) menanduk masuk gol ketiga Malaysia pada aksi menentang Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.


SKUAD bola sepak Indonesia sebenarnya tidaklah sekuat mana dan terbukti mereka memang layak digelar ‘jaguh kampung’.

Keegoan Indonesia akhirnya memakan diri apabila Malaysia dengan mudah membelasah mereka 3-0 pada aksi perlawanan akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Terikat 0-0 pada separuh masa pertama, Malaysia meledak tiga gol tersebut pada babak kedua menerusi Mohd. Safee Mohd. Sali pada minit ke-59 dan 71 serta pemain gantian, Mohammad Ashari Samsudin pada minit ke-67.

Ia meletakkan Malaysia kini sebelah tangan untuk menjulang trofi Piala Suzuki AFF buat pertama kali sejak kejohanan ini diperkenalkan pada 1996.

Namun kejuaraan mutlak untuk edisi kelapan ini hanya akan ditentukan selepas berakhirnya final kedua di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta Rabu ini.

Pada aksi malam tadi, suasana bingit oleh 75,000 penyokong Malaysia serta 15,000 penyokong Indonesia telah menghangatkan babak awal permainan.

Namun pemain sayap kiri Indonesia, Oktovianus Maniani dan pemain sayap kanan Malaysia, Amirulhadi Zainal kempunan untuk beraksi pada final kedua nanti kerana memungut kad kuning kedua.

Oktovianus dilayangkan kad kuning seawal minit kelima sebelum Amirulhadi menerima nasib sama pada penghujung babak pertama.

Kerancakan permainan terhenti pada minit ke-53 akibat gangguan sinaran laser terhadap penjaga gol Indonesia, Markus Harison Rihihina ketika Malaysia mendapat sepakan penjuru.

Masa permainan berjalan selama enam minit tanpa aksi cemas tetapi tidak sampai seminit selepas ia bersambung semula, Malaysia berjaya memperoleh gol pertama.

Jaringan pada minit ke-59 itu terhasil setelah Norshahrul Idlan Talaha bijak membawa bola secara solo dari penjuru kanan melepasi Maman Abdulrahman dan melorongkannya untuk dirembat masuk oleh Safee.

Hanya lapan minit kemudian, Malaysia terus selesa dengan gol kedua juga menerusi gerakan Norshahrul dari sebelah kanan tetapi kali ini lorongan cantiknya disudahkan pula dengan rembatan Ashari yang masuk menggantikan Amirulhadi.

Malaysia terus mengukuhkan kedudukan apabila mem peroleh gol ketiga pada minit ke-71 menerusi tandukan cantik Safee hasil hantaran lintang S. Kunanlan dari sebelah kanan.

Ketika masa kecederaan selama lapan minit diberi, Malaysia sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti setelah Kunanlan dijatuhkan Markus tetapi pengadil, Toma Masaaki dari Jepun sebaliknya memberikan sepakan gol buat Indonesia.

Indonesia sepatutnya menyalahkan diri sendiri atas kekalahan tersebut kerana mereka terlalu gemar untuk melakukan protes kononnya penjaga gol diganggu oleh pancaran laser.

Yang peliknya, mereka akan melakukan protes setiap kali Malaysia mendapat sepakan percuma di hadapan pintu gol mereka.

Apa yang pasti, bukan pancaran laser yang menjadi penyebab kerana kesemua tiga gol Malaysia dihasilkan menerusi gerakan padang.

Ia sekadar helah penjaga gol Indonesia untuk menyembunyikan gementarnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena