Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, December 5, 2010

Khalid Jamlus kembali bersama Red Warriors (Utusan Malaysia Online)

KOTA BHARU - Juara Piala Malaysia, Kelantan mengambil langkah berani apabila menyenaraikan tiga 'orang lama' sebagai persiapan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia 2011 yang akan bermula pertengahan tahun depan.

Tiga 'muka lama' tersebut ialah Wan Rohaimi Wan Ismail, Daniel Fadly Abdullah dan bekas penyerang sensasi The Red Warriors musim 2009, Mohd. Khalid Jamlus.

Kemasukan ketiga-tiga pemain tersebut menjadikan enam muka baru yang dibawa masuk untuk memperkuatkan pasukan Kelantan selepas K. Soley, Muhamad Abdul Aziz Ismail dan Nurul Azuan Roya.

Kemasukan Khalid dan dua lagi rakannya itu disahkan sendiri oleh Ketua Jurulatih Kelantan, B. Sathianathan ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam yang memberitahu mereka akan mengisi kekosongan sekiranya ada pemain berhijrah.

"Khidmat ketiga-tiga pemain ini masih lagi boleh digunakan, mereka ada banyak pengalaman dan dua daripada mereka pernah bersama saya ketika mewakili negara.

"Khalid seorang pemain penyerang yang hebat terutama dalam kotak penalti, begitu juga dengan Daniel Fadli yang masih lagi mampu merencanakan barisan tengah Kelantan termasuklah Wan Rohaimi untuk memantapkan lagi barisan pertahanan," ujarnya.

Sathianathan berkata, dengan gabungan pemain sedia ada ditambah pemain baru, beliau yakin mereka mampu memberikan sesuatu buat The Red Warriors untuk musim hadapan sekurang-kurangnya mengulangi apa yang telah dilakukan pada musim lalu.

Ditanya sama ada tindakan tersebut bakal menerima kritikan daripada peminat, Sathiatahan memberitahu beliau sedia berhadapan dengan situasi tersebut.

"Keadaan ini hampir sama apabila Akmal Rizal dan Hairuddin untuk beraksi bersama Kelantan musim lalu. Ramai yang kata mereka dah tak boleh main. Tetapi akhirnya mereka telah buktikan sesuatu dan kita mampu menjadi juara, begitu juga dengan situasi ini," ujarnya.

Tambahnya, beliau menganggap ia sebagai cabaran untuk melakukan yang terbaik pada saingan musim hadapan.

"Bagi saya usia bukanlah penghalang, apa yang peting ketiga-tiga pemain ini perlu bekerja lebih keras dan memberikan tumpuan penuh pada sesi latihan," tegasnya.

Dalam pada itu, Sathianathan memberitahu dia masih lagi menunggu kehadiran tiga tunggak yang membantu Kelantan muncul juara Piala Malaysia iaitu Kapten pasukan, Indra Putra Mahyuddin, Nor Farhan Mohamad dan Azizi Mat Rose.

"Sehingga hari ini, saya masih lagi belum merima apa-apa maklumat tentang ketiga-tiga pemain ini dan mereka masih lagi belum menjalani latihan bersama Kelantan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena