Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, December 11, 2010

Khairul harap terus terpilih (Harian Metro Online)

Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

PENJAGA gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat berharap terus menjadi pilihan ketua jurulatih kebangsaan, K Rajagobal untuk menjadi benteng terakhir apabila menentang Vietnam pada saingan separuh akhir pusingan pertama Piala Suzuki AFF, Rabu ini.

Menurut penjaga gol berusia berusia 21 tahun itu, keyakinannya kini bertambah selepas diberi kepercayaan mengawasi gawang skuad kebangsaan menentang Thailand dan Laos walaupun tidak diturunkan ketika tewas 1-5 kepada Indonesia pada perlawanan pertama dengan tugas itu digalas Mohd Sharbinee Allawee Ramli.

“Walaupun pertama kali mewakili skuad senior kebangsaan dan bermain untuk kejohanan ini, saya berkeyakinan tinggi untuk menggalas tugas ini.

“Saya juga masih belum mencapai prestasi terbaik dan berharap dapat mempamerkan peningkatan bagi memastikan tidak dibolosi semasa bertemu Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil nanti,” katanya turut beraksi dengan cemerlang di Sukan Asia di China, bulan lalu.

Menurutnya lagi tempoh beberapa hari ini adalah peluang terbaik kepada dirinya dan rakan-rakan yang lain membaiki kelemahan yang ada terutamanya berhadapan dengan kepantasan permainan lawan yang sering kali mengucar-kacirkan benteng pertahanan negara.

“Saya menonton perlawanan Vietnam yang bersaing dalam kumpulan B. Mereka sangat pantas ditambah dengan kemampuan kaptennya, Nguyen Minh Phuong yang boleh mengambil sepakan percuma atau sudut dengan baik,” jelasnya.

Khairul bagaimanapun tetap menaruh keyakinan yang tinggi dengan barisan pertahanan walaupun dibarisi pemain muda dan ini adalah salah satu proses menimba pengalaman.

“Sebagai pemain muda, kami amat mengharapkan sokongan peminat tempatan untuk memberikan semangat walau apa pun keputusannya nanti,” tambahnya.

Harga tiket pada perlawanan itu adalah RM20 (tempat duduk tidak berbumbung) dan RM40 (tempat duduk tidak berbumbung) manakala RM5 bagi kanak-kanak berumur bawah 12 tahun untuk tempat duduk berbumbung saja.

Tiket akan dijual pada Isnin dari 9.30 pagi hingga 5 petang (satu hari saja) di Wisma FAM, Kelana Jaya manakala di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa dan Rabu (hari perlawanan) bermula 10 pagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...