Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, December 28, 2010

Kembalikan maruah bola sepak (Utusan Malaysia Online)

Sekalung tahniah di atas kejayaan pasukan bola sepak kebangsaan yang telah berjaya membenam skuad bola sepak dari negara jiran iaitu Indonesia dengan 3-0, jumlah jaringan yang disifatkan sebagai ‘garang’, pada perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam Ahad 26 Disember lalu.

Secara tidak langsung, sebelah kaki telah membawa Malaysia sebagai juara Piala Suzuki AFF 2010. Persoalan menang atau kalah di Gelora Bung Karno bagi saya sudah menjadi perkara kedua.

Apa yang dilihat lebih penting ialah semangat dan daya juang yang tinggi meyakinkan saya bahawa maruah bola sepak negara kembali gah. Ini ditambah pula dengan semangat 1Malaysia yang jelas terpancar dalam skuad bola sepak negara.

Apa tidaknya, selain daripada barisan pemain yang mempunyai kesefahaman dan keserasian yang jitu, di barisan pengurusan pula ternampak jelas apabila ledakan gol di gawang lawan, aksi spontan jurulatih K. Rajagobal, pembantu jurulatih dan Datuk Subahan Kamal berpelukan sambil melompat kegembiraan meraikan jaringan tersebut.

Aksi ini mengimbau kembali ingatan saya ketika era kegemilangan bola sepak negara sewaktu zaman Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, Santokh Singh, R.Arumugam dan bintang-bintang lain yang beraksi cemerlang suatu masa dahulu.

Sekiranya semangat 1Malaysia ini boleh diaktifkan dalam sukan termasuklah di padang perlawanan bola sepak, mengapa tidak ia disemarakkan dalam diri dan jiwa rakyat Malaysia?

Kami di Kumpulan Rakan Siswa Malaysia (KARISMA) berasa bangga dengan skuad kebangsaan. Malah kami melihat sendiri secara langsung di Stadium Nasional Bukit Jalil persembahan hebat dan bertenaga oleh anak didik K. Rajagobal sepanjang 90 minit perlawanan dilangsungkan.

Jadikanlah skuad kebangsaan dan pihak pengurusannya sebagai ikon semangat 1Malaysia kerana ia menjadi kebanggaan segenap lapisan rakyat Malaysia.

Sekalung tahniah untuk Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah, yang sanggup mencemar duli turun ke padang untuk memastikan tindakan tegas diambil berhubung gelagat segelintir penyokong yang menggunakan pancaran laser.

Gelagat ini tidak sepatutnya berlaku. Malah cara ini langsung tidak sihat dalam kita ingin meningkatkan mutu sukan bola sepak negara.

Dalam masa yang sama, kawalan emosi para pemain yang baik serta ketenangan jurulatih K.Rajagobal yang sentiasa tersenyum serta memberi isyarat positif dalam meyakinkan pengadil berhubung insiden itu, membuatkan pengadil utama dari Filipina yang bertugas memberi respon baik. Beberapa minit kemudian perlawanan diteruskan semula.

Syabas dan tahniah buat penyokong Malaysia yang membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil malam itu yang tidak mengenal erti penat lelah dalam memberikan sokongan kepada para pemain negara.

Inilah sikap yang perlu dicontohi oleh sekelian penyokong, malah rakyat Malaysia. Semangat 1Malaysia dengan salah satu daripada lapan nilai iaitu Budaya Berprestasi Tinggi perlu ada dalam diri setiap rakyat Malaysia keseluruhannya.

Apa yang lebih membanggakan lagi, jika dibandingkan K.Rajagobal dengan jurulatih Indonesia yang berasal dari Austria, Afred Riedl, dan jurulatih Vietnam, Henrique Callisto, yang merupakan anak kelahiran Portugal, membuktikan anak Malaysia mampu melakukan yang terbaik.

Jika Datuk Misbun Sidek menerima gelaran Datuk kerana kesungguhan beliau mendidik Datuk Lee Chong Wei, mengapa tidak pingat ini diberikan juga kepada K.Rajagobal, walaupun kejayaan Malaysia mungkin ada yang beranggapan masih sedikit.

Tetapi bagi kami generasi muda, khususnya warga KARISMA yang terdiri daripada 19 buah IPTA/IPTS seluruh Malaysia, melihat ia adalah permulaan yang sangat baik. Kegemilangan bola sepak negara menyebabkan rakyat Malaysia berbangga dengan apa yang Skuad Harimau telah tunjukkan.

Air mata kegembiraan yang jelas kelihatan di wajah para penyokong Malaysia pada malam itu membuktikan betapa besarnya kebanggaan mereka kepada skuad negara.

Sekalung doa menjadi iringan untuk skuad kebangsaan. Semoga perlawanan akhir kedua di Jakarta malam esok menjadi medan terbaik untuk Malaysia membuktikan kemampuannya. Malaysia Boleh!

MOHAMAD UZAIR MOHD. NOR RASHID

Naib Presiden Kebangsaan Kumpulan

Rakan Siswa Malaysia (Karisma)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...