Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, December 15, 2010

'Jersi kuning tak bawa tuah' (Kosmo Online)


WIRA-WIRA bola sepak negara sudah bersiap sedia untuk menghadapi ancaman Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.


BIARPUN turun selaku tuan rumah, Malaysia bakal menggunakan jersi kedua mereka berwarna biru untuk menghadapi Vietnam pada separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Pada dua aksi Kumpulan A sebelum ini, Malaysia menggunakan jersi kedua berwarna biru dan berjaya mengikat Thailand 0-0 dan membelasah Laos 5-1. Ketika mereka menggunakan jersi kuning pada aksi pertama menentang Indonesia, skuad negara dibelasah 5-1.

Penentuan untuk menggunakan jersi berwarna biru itu disahkan jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal pada sidang media di Stadium Nasional petang semalam.

"Kami baru saja membuat keputusan pada mesyuarat pengurus pasukan sebentar tadi (semalam) bahawa Malaysia akan menggunakan jersi biru pada perlawanan esok (hari ini)," kata Rajagobal.

Namun jurulatih Vietnam, Henrique Calisto yang turut sama dalam sidang media itu pantas mencelah dan sambil berseloroh berkata: "Kalau Malaysia pakai jersi biru, biarlah kami pakai jersi kuning."

Sementara itu, mengulas mengenai pertemuan malam ini, Rajagobal berkata, dia berkeyakinan tinggi bahawa barisan pemain mudanya akan memberikan satu keputusan positif selepas berakhir 90 minit permainan.

"Vietnam saya akui sebuah pasukan yang kuat walaupun jurulatih mereka beritahu tiga pemain cedera dan seorang digantung. Lagipun mereka hadir selaku juara bertahan.

"Cuma saya harap para pemain kita tidak takut dan gentar dengan reputasi pasukan lawan dan gunakan sepenuhnya kelebihan beraksi di tempat sendiri.

"Saya mahu pemain memberikan aksi terbaik sebagai balasan penyokong hadir ke stadium supaya kita dapat mencatat satu lagi kenangan manis sebelum menutup tahun 2010," ujarnya.

Bekalan gol selesa cukup penting untuk dibawa ke perlawanan kedua di Hanoi pada Sabtu ini sambil peraturan gol di tempat lawan turut digunapakai pada kejohanan kali ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...