Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, December 31, 2010

Jangan Terlalu Selesa, Ingat FAM Kepada Pemain (BERNAMA)

30 Disember, 2010 20:41 PM

SEPANG, 30 Dis (Bernama) -- Walaupun berjaya menamatkan kemarau 14 tahun mengidam Piala Suzuki-AFF 2010, pemain-pemain skuad 'Harimau Malaya' diingatkan supaya tidak terlalu selesa dengan kejayaan itu.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Azzuddin Ahmad berkata situasi sedemikian harus dielakkan jika mereka mahu terus mengukuhkan kedudukan di peringkat Asia Tenggara mahupun antarabangsa.

"Saya tidak mahu kejayaan yang dikecapi hanyalah sementara waktu sahaja kerana kita mahu penyokong-penyokong bola sepak negara sentiasa berada di belakang kita untuk beri sokongan agar terus menyinari masa depan bola sepak negara," katanya.

"Jangan terlalu yakin dengan pencapaian yang telah kita bawa ini kerana ia akan menjadi ancaman kepada diri pada masa akan datang," katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis sambutan ketibaan skuad kebangsaan di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA).

Azzuddin berkata FAM kini menyasarkan untuk terus cemerlang dan mengekalkan pingat emas di Sukan SEA di Jakarta pada November tahun depan, selain Sukan Asia pada 2014 di Incheon, Korea Selatan.

"Kita berjaya membawa pulang pingat emas pada Sukan SEA di Vientianne, Laos tahun lepas dan kali ini pula kita membawa pulang trofi Piala AFF Suzuki sempena menutup tirai 2010.

"Saya harap pemain-pemain negara terus konsisten untuk meningkatkan prestasi diri ke satu tahap yang lebih menyakinkan kerana ini hanyalah permulaan buat skuad negara," katanya.

Mengenai kesan kemenangan membawa pulang Piala AFF Suzuki, Azzuddin berkata bola sepak Malaysia kini mula mendapat pengiktirafan kerana sebelum ini lebih kepada sudut yang negatif.

"Kita berasa lega kerana pencapaian memenangi piala tersebut pada malam tadi telah mendapat penghargaan yang positif dan kita tidak akan sesekali menghampakan penyokong-penyokong lagi. Kita akan berusaha lebih keras.

"Kini ia terserah kepada pengkritik sendiri kerana saya tidak ada komen oleh kerana pencapaian ini `speak for itself'," katanya.

Azzuddin berkata beliau akan berbincang dengan jurulatih kebangsaan, K.Rajagobal bagi memastikan pemain-pemain terus konsisten.

Rabu malam, anak buah K. Rajagobal berjaya menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2 pada timbal balik perlawanan akhir di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia sekaligus mengakhiri penantian 14 tahun sejak kali terakhir skuad negara layak ke final pada 1996 yang ketika itu dikenali Piala Tiger.

Pada 26 Dis lepas, skuad negara membelasah skuad Garuda itu 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selain itu ketika ditanyakan mengenai tindakan penyokong Indonesia yang membuat provokasi, Azzuddin berkata pihaknya sedang menunggu keputusan pihak penganjur AFF mengenai post-mortem mutu penganjuran kejohanan tersebut.

"Kita akan sampaikan beberapa perkara yang mungkin boleh diperbaiki pada masa akan datang," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...