Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, December 28, 2010

Jangan risau, ada pengganti (Harian Metro Online)

azlanmz@hmetro.com.my
Laporan Azlan Muhammad Zain dari Jakarta

TIADA sebarang kerisauan ditunjukkan ketua jurulatih kebangsaan, K Rajagobal walaupun bakal kehilangan dua tonggak pada perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta esok.

Pemain sayap kanan, Mohd Amirulhadi Zainal dan tonggak pertahanan kanan, Mahali Jasuli yang dilayangkan masing-masing dilayangkan kad kuning oleh pengadil dari Jepun, Toma Masaaki pada perlawanan akhir pertama, Ahad lalu akan mengharungi penggantungan satu perlawanan.

Kedua-dua pemain itu mendapat kad kuning pertama ketika menyingkirkan juara bertahan, Vietnam di peringkat separuh akhir minggu lalu.

“Saya tidak ada masalah walaupun dua pemain itu tidak beraksi esok kerana penggantungan. Saya mempunyai barisan pemain simpanan yang mampu menggalas tugas mereka.

“Sebelum kejohanan ini pun saya sudah kehilangan beberapa tonggak dan lihatlah hasilnya sekarang,” katanya.

Menurut jurulatih berusia 54 tahun itu beliau akan memikirkan dua pemain simpanan yang sesuai di dalam tempoh masa yang ada.

Rajagobal pastinya tidak mempunyai masalah menggantikan Mohd Amirulhadi apabila sudah menggunakan penjaring terbanyak Liga Super, Mohd Ashaari Shamsuddin pada perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Penyerang Terengganu itu yang bertindak sebagai pemain sayap kiri pada Ahad lalu menemui sentuhan pemusnahnya apabila menjaringkan gol kedua Malaysia pada perlawanan yang berakhir dengan kemenangan 3-0 memihak kepada Harimau Malaya itu.

Mohd Sabre Mat Abu pula berkemungkinan besar bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Mahali kerana sejak awal lagi kedua-dua pemain itu sering bergilir untuk berada di posisi itu.

“Selain Mohd Sabre, saya juga mempunyai Mohd Razman Roslan dan Mohd Faizal Muhamad untuk menggalas tugas itu. Saya akan fikirkan siapa yang terbaik untuk perlawanan terakhir ini,” katanya.

Keyakinan Rajagobal itu mungkin juga kerana pemain lincah Sang Garuda, Oktovianus Maniani turut terlepas aksi di Jakarta itu selepas mengumpul dua kad kuning, sekali gus mengurangkan tekanan kepada barisan pertahanan muda skuad kebangsaan.

Mengenai perlawanan itu, Rajagobal berkata beliau tetap menghormati skuad Indonesia kerana mereka adalah pasukan yang kuat seperti yang dibuktikan ketika peringkat awal sebelum ini.

“Malah seperti pasukan bola sepak yang lain, kami tidak mungkin dapat bertahan sepanjang 90 minit perlawanan. Saya mempunyai cara tersendiri,” katanya.

Skuad kebangsaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarnio-Hatta, Jakarta semalam dengan sambutan hangat sekumpulan penyokong Malaysia. Malah peminat Indonesia juga tidak ketinggalan mengucapkan selamat datang serta bergambar dengan pemain kebangsaan terutamanya Mohd Safee Sali yang menjaringkan dua gol pada perlawanan akhir pertama.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...