Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, December 29, 2010

Indonesia mula dahulu isu pancaran laser (Utusan Malaysia Online)

JAKARTA - Isu pancaran laser yang digembar-gemburkan oleh pemain, media dan penyokong Indonesia sebenarnya dimulakan oleh mereka sendiri pada pertemuan sulung antara kedua-dua pasukan di Stadium Gelora Bung Karno, 1 Disember lalu.

Insiden itu disahkan sendiri oleh penjaga gol negara, Sharbinee Allawee yang turun dalam perlawanan tersebut.

Sharbinee berkata, terdapat pancaran laser dihalakan ke arahnya ketika gol kelima Indonesia yang dijaringkan pada minit terakhir perlawanan.

''Bagaimanapun, pancaran laser itu sebenarnya tidak menjadi masalah besar kerana ia sama sekali tidak mengganggu permainan selagi mata saya tidak memandang tepat ke arah pancaran laser berkenaan.

''Saya sendiri tidak ambil kisah dengan penggunaan laser itu kerana ia bukan punca utama kepada kekalahan kami.

''Selepas tewas 1-5 kepada Indonesia pada aksi peringkat kumpulan, kami menerima kekalahan itu dengan hati terbuka dan tidak pula mencari sebarang alasan lain sebagai punca kami tewas," kata Sharbinee.

Pemain itu mengulas mengenai tohmahan yang dilemparkan oleh sesetengah media dan penyokong republik itu yang tidak henti-henti membangkitkan isu sinaran laser sebagai punca kekalahan pasukan mereka.

Menurut media Indonesia, gangguan laser yang dihalakan ke arah penjaga gol Garuda, Markus Harison sebagai punca kepada kegagalannya menyelamatkan tiga gol yang bolos pada perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad lalu.

Presiden Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Nurdin Halid, turut mengecam insiden itu dan berjanji untuk mengemukakan laporan kepada AFF berhubung isu tersebut.

Menurut Sharbinee yang juga penjaga gol Terengganu, penyokong Indonesia tidak wajar memberikan faktor isu pancaran laser untuk menutup kelemahan pasukan mereka yang tewas di tangan Malaysia.

''Bagi saya, ketiga-tiga gol kita memang bersih dan walaupun, saya tidak bermain, saya masih boleh perhatikan dari tepi padang bahawa pancaran laser itu jelas tidak mengganggu Markus sebenarnya.

''Malaysia memang berhak menang kerana aksi kami lebih kemas dan memperoleh banyak percubaan berbanding mereka," ujarnya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...