Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, December 10, 2010

Idam jumpa Indonesia dalam babak akhir (Utusan Malaysia Online)

WALAUPUN membariskan skuad ‘tempang’, Malaysia berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2010.

Kejayaan meneruskan kemaraan pada kejohanan bola sepak terunggul di Asia Tenggara itu, amat bermakna dan kini peminat mengharapkan langkah skuad kebangsaan mampu lebih jauh, apabila berdepan juara bertahan, Vietnam pada perlawanan separuh akhir secara timbal balas pada 15 dan 18 Disember ini. Wartawan Utusan Malaysia, Ferzalfie Fauzi berkongsi ‘resepi’ kejayaan skuad negara bersama pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal.

UTUSAN: Kemaraan pasukan kebangsaan ke separuh akhir disebabkan prestasi memberangsangkan atau nasib, atau atas bantuan Indonesia yang mengalahkan Thailand pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan?

SUBAHAN: Selepas dibelasah Indonesia 1-5 pada perlawanan pembukaan, kita bangkit mengikat Thailand tanpa jaringan, seterusnya membelasah Laos 5-1. Kita lihat dari segi kualiti Thailand dilatih oleh jurulatih berpengalaman, Bryan Robson. Mereka mempunyai ramai pemain yang beraksi di luar negara, tetapi kita mampu menyekat mereka.

Begitu juga menentang Laos. Pasukan bimbingan David Booth ini seri dengan Thailand, jadi mereka bukan calang-calang pasukan, namun kita berjaya menewaskan mereka dengan jaringan besar.

Indonesia saya rasa tiada hasrat untuk membantu Malaysia (ke separuh akhir), tetapi mereka mahu menang kerana ranking mereka lebih rendah berbanding Thailand. Kemaraan kita bukan disebabkan nasib, tetapi kesungguhan dan semangat yang pemain kita.

Kita mampu cemerlang tanpa pasukan terkuat kerana ramai pemain utama tidak beraksi. Di manakah kekuatan skuad ini?

SUBAHAN: Pemain muda adalah kekuatan kita. Kita mahu membina pasukan masa depan. Kita menurunkan pertahanan muda Mohd. Muslim Ahmad, 21 tahun, Mohd. Fadhli Mohd. Shas, mereka mempunyai semangat cuma kurang pengalaman, jadi kejohanan ini adalah tempat mereka meraih pengalaman.

Kehadiran pemain muda dari skuad Harimau Muda A dan B ini memberi peluang Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mempunyai lebih banyak pilihan. Jadi tidak ada sebarang masalah untuk memilih pemain yang sama handal dan berpengalaman.

Bagaimana pula dengan peluang kita untuk berdepan Vietnam di peringkat separuh akhir nanti?

SUBAHAN: Peluang kedua-dua pasukan adalah 50-50. Apa yang perlu kita buat ialah menggunakan segala peluang yang ada untuk membawa bekalan selesa pada saingan timbal balas di Hanoi nanti.

Kita mempunyai peluang untuk mara ke akhir mencatat keputusan yang baik dan tidak berasa tertekan untuk beraksi di tempat lawan. Saya bukan hendak cakap sebagai seorang pengurus bahawa saya terlebih angan-angan, tetapi saya yakin kita mampu ke saingan akhir.

Saya melihat proses kebangkitan ini sangat bagus sekali, tidak mustahil pada dua tahun yang akan datang, kita akan menjadi sebuah pasukan yang digeruni di rantau ini.

Apa yang saya harapkan ialah semua orang memainkan peranan masing-masing, ia termasuk kerajaan dengan menyalurkan bantuan, pemain mengikut segala arahan yang diberikan dan rakyat terus setia sebagai memberi sokongan.

Apakah yang skuad Malaysia perlukan untuk melemahkan Vietnam pada separuh akhir Rabu ini?

SUBAHAN: Sudah tentu sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada peminat tempatan. Saya amat mengharapkan penyokong datang beramai-ramai ke Stadium Nasional Bukit Jalil. Kita mahu lawan terus gerun dengan kehadiran penonton yang ramai, sama seperti mana di negara mereka.

Kita mahu ia berlaku seperti mana di Vietnam dan di Stadium Gelora Bung Karno dengan kehadiran penyokong fanatik. Barulah semangat `Malaysia Boleh’ dapat dirasai dengan mendalam baik kepada pemain, jurulatih, pegawai dan penyokong sendiri.

Saya tidak mahu sokongan ini hanya wujud apabila Malaysia berada diambang kejayaan sahaja. Biarlah ia berterusan, tidak kira di mana kedudukan kita, penyokong tidak kira bangsa dan agama perlu keluar beramai-ramai pada tarikh 15 Disember ini. Penyokong memainkan peranan penting dalam membantu skuad kebangsaan mencatat kejayaan.

Jika kita ke final, pasukan mana yang menjadi ‘idaman’ Datuk?

SUBAHAN: Kalau boleh kita mahu bertemu Indonesia sekali lagi di saingan akhir. Ia tidak mustahil. Senario yang kita alami dalam Piala Suzuki AFF ini hampir sama apa yang kita alami ketika kita menang pingat emas pada Sukan SEA Laos. Di Laos, kita tewas pada perlawanan pertama kepada Vietnam 1-3, tetapi bangkit mencatat kejayaan menentang lawan yang sama pada saingan akhir.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena