Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, December 28, 2010

Harimau Malaya mampu gegar Gelora Bung Karno (Utusan Malaysia Online)

SYABAS Malaysia! Rasanya masih belum puas melihat aksi skuad negara tatkala membaham Indonesia 3-0 pada perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010 di Bukit Jalil, kelmarin.

Meskipun penulis tidak berkesempatan bersama-sama lautan 'Harimau Malaya' kerana bertugas (terima kasih atas jemputan Tuanku Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah dan Jawatankuasa Eksekutif FAM) - penulis tetap menontonnya pada kaca televisyen di pejabat.

Penulis tercari-cari di manakah kekuatan sebenar skuad asuhan K. Rajagobal ini bagi menafikan 'suara' hati yang mengatakan nasib sebenarnya banyak menyebelahi kita pada kejohanan ini.

Kegagalan skuad negara pada Sukan Asia di Guangzhou, bulan lalu banyak mempengaruhi pandangan penulis tentang keupayaan sebenar skuad negara.

Namun, semuanya ternyata meleset selepas menyaksikan kebangkitan semula skuad negara yang seolah-olah disuntik nafas baru lagi bertenaga.

Benarlah seperti kata banyak pihak, kekuatan kita bersandar kepada semangat yang cukup tinggi dan pemain-pemain kita berjaya menganjakkan bola sepak negara ke satu tahap membanggakan.

Inilah yang dipamerkan oleh pemain kita yang rata-ratanya terdiri anak-anak muda yang berbakat besar.

Pemain-pemain kita bermain dalam semangat wira yang menyala terang, cukup untuk memadamkan api kesombongan Indonesia sebelum ini.

Apa yang boleh penulis katakan, inilah permainan tinggi yang diidam oleh rakyat Malaysia.

Cerita kejayaan skuad negara terus hangat termasuklah di restoran-restoran mamak. Kiri dan kanan pelanggan yang bersarapan masih ligat menceritakan tentang perlawanan kelmarin, malah anak-anak kecil juga semakin mengenali pemain-pemain yang mula meniti di bibir mereka.

Apa yang pasti cerita tentang perlawanan bola sepak Liga Perdana England tenggelam seketika walaupun melibatkan aksi kelab tersohor dunia.

Suasana sebegini pernah kita lalui di era tahun-tahun 70an hingga 80an iaitu pada ketika zaman kemuncak kegemilangan bola sepak negara dan keriangan itu kembali berputik.

Tahniah Rajagobal dan pengurusan FAM yang berjaya meletakkan semula Malaysia di landasan sebenar walaupun perjalanan kita masih panjang.

Selepas tempoh 90 minit bermain, kelmarin apa yang penulis boleh rumuskan ialah ada beberapa perkara menyentuh posisi pemain yang perlu diberikan perhatian oleh Rajagobal.

Jelas sekali, peranan penyerang berbakat, Norshahrul Idlan Talaha yang rasa penulis sangat menyerlah untuk memikul peranan sebagai attacking midfielder daripada posisi asalnya.

Apa yang jelas, dua daripada tiga jaringan kelmarin adalah gerakan cantik Norshahrul. Kehadiran Norshahrul rasa penulis akan menjadikan gerakan tengah yang turut dibarisi S. Kunanlan dan Safiq Rahim lebih berkesan lagi.

Tentang barisan pertahanan kita, penulis tidak mahu komen panjang. Cukuplah mereka ini ibarat tembok simen yang cukup kental setakat ini.

Cumanya, mereka perlu lebih bijak menyusun rentak dari bawah dan jangan terlalu gopoh 'buang bola' sedangkan lawan sudahpun hilang kawalan.

Satu lagi tabiat yang perlu dielakkan di Gelora Bung Karno, esok ialah menafikan kepentingan pasukan apabila peluang sudah terhidang di depan mata.

Kalau tidak silap penulis, kita banyak melepaskan peluang menjaringkan gol begitu sahaja, mungkin terlalu gopoh untuk mencari jaringan peribadi.

Penulis yakin jika momentum kelmarin dikekalkan tidak ada sebab mengapa Harimau Malaya tidak boleh mengaum di Gelora Bung Karno. Baham Garuda!

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...