Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, December 16, 2010

Dua 'S' menjadi (Harian Metro Online)

SYABAS...gelagat Safee (tengah) meraikan jaringan bersama    Kunanlan (kanan) dan Amirulhadi, semalam.
SYABAS...gelagat Safee (tengah) meraikan jaringan bersama Kunanlan (kanan) dan Amirulhadi, semalam.

MALAM Safee Sali dan Safiq Rahim. Gandingan dua ‘S’ dari Selangor itu cukup menghiburkan penyokong di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi sekali gus meleraikan tanggapan negatif serta persoalan mengenai kemampuan skuad muda bimbingan ketua jurulatih K Rajagobal itu pada saingan separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2010.

Di mana ada Safiq, di situlah Safee tampil untuk membantu dan dua gol diledak penyerang Selangor itu meleburkan ego Vietnam yang turun sebagai juara bertahan sekali gus menjanjikan bekalan yang cukup lumayan untuk aksi kedua di Stadium Nasional MyDinh, Hanoi, Sabtu ini.

Gol Safee pada minit ke-61 dan 80 memberikan kemenangan selesa 2-0 Malaysia ke atas Vietnam sekali gus menyaksikan impian pemain muda negara untuk ke perlawanan akhir buat kali pertama dalam tempoh 14 tahun, semakin cerah.

Kehadiran lebih 50,000 penyokong di Stadium Nasional malam tadi benar-benar membakar semangat anak buah Rajagobal dan keinginan untuk menang mula terpancar sejak wisel permainan dibunyikan pengadil dari China, Sun Baojie.

“Aksi Safee harus dipuji kerana dia memberikan komitmen seratus peratus malam ini. Kita menang sebab pemain menggunakan semua peluang yang ada dan saya dapat melihat pemain kita dahagakan kemenangan. Kalau dinilai daripada persembahan, memang kita berhak keluar sebagai pemenang.

“Kita membariskan pemain muda namun mereka bekerja keras untuk berjaya. Mereka masih muda dan ini satu perkara yang positif. Mereka bermain dengan penuh tumpuan dan optimis serta berani.

“Di separuh masa pertama, aksi tidak begitu menjadi tetapi mereka banyak mencipta peluang. Memasuki babak kedua, saya arah mereka mengekalkan rentak permainan sebegitu dan saya gembira ia berjaya,” kata Rajagobal.

Malaysia melakukan banyak asakan yang boleh dianggap berbahaya tetapi benteng pertahanan Vietnam yang dikemudi pemain senior, Vu Nhu Tanh ternyata kebal.

Kudrat S Kunanlan di bahagian sayap kanan banyak digunakan pada setiap serangan tetapi sering juga hantaran lintang dilakukan pemain Negeri Sembilan itu sia-sia serta gagal menemui rakan terutama gandingan penyerang, Nor Shahrul Idlan Talaha dan Safee sambil dibantu Amirulhadi Zainal.

Peluang terbaik Malaysia pada separuh masa pertama adalah melalui pemain pertahanan, Mohd Fadhli Mohd Shas pada minit ke-40 tetapi dia gagal melakukan rembatan dalam kotak penalti selepas mendapat bola sepakan sudut Safiq.

Penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat turut bertindak cemerlang pada minit terakhir separuh masa pertama dengan menyelamatkan sepakan percuma kapten Vietnam, Nguyen Minh Phuong.

Benteng pertahanan juga banyak mendapat pujian Rajagobal tetapi beliau mengingatkan pemain masih ada 90 minit lagi sebelum mereka benar-benar boleh dianggap berjaya.

“Selepas ini kami akan bermain di Vietnam dan apa yang penting ialah kita tidak membenarkan lawan menjaringkan gol. Itulah bekalan yang mahu kami cari sebelum ke tempat lawan,” katanya.

Gol yang dicari skuad negara muncul pada minit ke-56 hasil tandukan Safee tetapi dibatalkan pengadil akibat ofsaid dan tiga minit kemudian, Kunanlan yang memperdayakan tiga pertahanan lawan, sempat melepaskan rembatan kencang yang hampir menggegar gawang Vietnam tatkala penjaga gol, Bui Tan Truong sudahpun tertewas.

Kekecewaan Safee selepas jaringan pertama dibatalkan, ditebus menerusi tandukan yang menggegar jaring Vietnam untuk menjadikan kedudukan 1-0 hasil sepakan percuma yang diambil Safiq pada minit ke-61.

Vietnam yang semakin terdesak mencari gol penyamaan, mula beraksi agresif dan pemain yang paling kerap menjadi sasaran ialah Safiq hingga hampir mencetuskan ketegangan.

Safee benar-benar membuktikan dia ingin menjadi wira negara apabila meledak gol kedua pada minit ke-80 selepas bola yang dirembat Safiq, gagal ditangkap kemas oleh Tan Truong dan kesempatan itu diambil Safee yang pantas menghukum kesilapan penjaga gol itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena