Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, December 15, 2010

Calisto tabik Malaysia (Utusan Malaysia Online)


PEMAIN kebangsaan melakukan persiapan terakhir menjelang aksi separuh akhir Piala AFF menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.


KUALA LUMPUR - Biarpun diletak sebagai pasukan pilihan untuk mara ke akhir, jurulatih Vietnam, Henrique Calisto tidak mahu mendabik dada sebaliknya menganggap ancaman daripada Malaysia perlu diberi perhatian serius.

Menyedari skuad negara akan berusaha sehabis mungkin untuk layak ke final buat kali pertama selepas 14 tahun, pengendali dari Portugal itu berkata, mereka mahu menyekat tuan rumah daripada mencatatkan sebarang keputusan positif pada hari ini.

''Skuad Malaysia saya lihat amat bijak dalam melakukan serangan di samping mempunyai pertahanan yang ampuh ketika bertemu Thailand.

''Malah, permainan mereka juga amat tersusun dan begitu taktikal sama ada bertahan atau menyerang.

''Mungkin dua tahun lalu kami pernah menewaskan Malaysia di pentas Piala AFF tetapi kali ini suasananya berbeza kerana mereka mempunyai jurulatih, pemain dan stadium berbeza.

"Jadi, saya anggap tiada sesiapa mempunyai kelebihan dalam perlawanan ini, termasuk kami,'' katanya pada sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Nada Calisto juga sedikit resah apabila mengakui tidak dapat menurunkan empat pemain dalam perlawanan malam ini ekoran masalah kecederaan dan penggantungan.

''Tiga pemain iaitu Doan Viet Cuong, Quang Thanh Hyunh dan Phan Vai Tan Em mungkin tidak dapat diturunkan ekoran kecederaan sementara, Nguyen Trong Hoang digantung kerana menerima kad merah pada perlawanan terakhir berdepan Singapura.

''Ini mungkin menjejaskan sedikit perancangan kami tetapi pengalaman dua tahun lalu memberi kekuatan kepada saya dan Vietnam masih mampu menjuarai Piala Suzuki AFF,'' tegasnya.

Dalam pada itu, Calisto sempat mengusik jurulatih negara, K. Rajagobal apabila berharap Malaysia mempamerkan aksi ketika berdepan Indonesia.

''Pada perlawanan pertama, saya lihat pemain Malaysia banyak melakukan kesilapan di bahagian pertahanan tetapi memperbaiki aksi mereka pada aksi seterusnya dengan berjaya mengikat Thailand.

''Jika mereka bermain seperti ketika bertemu Indonesia , ada harapan kami boleh menang pada perlawanan esok (hari ini), '' katanya sambil berseloroh.

Selain itu, Calisto turut mendedahkan kebangkitan Vietnam di persada Asia Tenggara adalah kerana kejayaan liga tempatan negara itu yang membenarkan pengambilan pemain import.

''Kehadiran jurulatih dan pemain import sebenarnya meningkatkan kualiti permainan bola sepak dan dalam pada sama membantu pemain tempatan Vietnam untuk bersaing dengan mereka.

''Malah, tiap kali perlawanan liga, stadium akan dipenuhi ramai penonton dan itu meningkatkan lagi mutu permainan pasukan yang bertanding,'' katanya.

Skuad Vietnam akan turun mengenakan jersi baju merah dan berseluar putih dalam perlawanan hari ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...