Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, December 28, 2010

Bung Karno sudah dibaiki (Harian Metro Online)

Oleh Azlan Muhammad Zain
azlanmz@hmetro.com.my

STADIUM Gelora Bung Karno layak untuk dijadikan gelanggang perlawanan akhir kedua Piala Suzuki AFF esok malam selepas dilaporkan mengalami kerosakan akibat rempuhan penyokong pada Ahad lalu.

Pegawai AFF turut turun padang bagi meninjau kerosakan sebenar dan proses membaik pulih.

Pengarah Penyelenggaraan dan Pembangunan Stadium Utama Gelora Bung Karno, Mahfudin Nigara berkata kerja-kerja untuk membaiki kerosakan kini giat dilakukan bagi memastikan semuanya sempurna menjelang waktu perlawanan jam 7 malam (jam 8 malam waktu Malaysia).

“Saya yakin kerja ini akan siap pada masanya dan tidak perlu untuk ditukarkan ke gelanggang lain,” katanya yang membawa pihak media meninjau kerja-kerja membaiki stadium itu yang sedang giat dilakukan.

Menurutnya kerosakan yang berlaku di Pintu 8 yang rosak teruk sudah 90 peratus siap selain pagar penonton di Sektor 19 yang roboh akibat rempuhan penonton turut hampir siap dibaiki.

“Selain itu, bagi memastikan keadaan padang bersedia untuk perlawanan, kedua-dua pasukan (Malaysia dan Indonesia) tidak dibenarkan menggunakan padang untuk latihan kerana terdapat bahagian padang yang rosak akibat dipijak penyokong,” katanya yang turut menjelaskan larangan merokok akan diperketatkan pada final kedua itu nanti.

Mahfudin menjelaskan kerugian masih belum ditaksirkan dan berharap penyokong Indonesia tidak menjadikan stadium warisan negara itu sebagai sasaran.

“Pembinaan stadium ini adalah hasil sumbangan pelbagai pihak dari seluruh rakyat di Indonesia . Kita harus menang dengan terhormat begitu juga sebaliknya," katanya.

Rempuhan itu dilaporkan berlaku akibat masalah tiket yang berpunca daripada 50,000 penyokong dikumpulkan di dalam stadium sedangkan tiket kelas tiga yang dijual hanyalah berjumlah 30,000 keping saja.

Insiden rempuhan itu menyebabkan AFF memberi amaran keras dengan berkemungkinan stadium itu tidak akan dapat digunakan untuk perlawanan akhir kedua.

Kejayaan Indonesia layak ke final mencetuskan sambutan luar dugaan di kalangan rakyat republik itu namun Stadium Gelora Bung Karno hanya dapat menampung kira-kira 83,000 penyokong.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...