Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, December 10, 2010

'Bukan wang, tapi keluarga' (Kosmo Online)


NOR FARHAN (kiri) bakal menyarung jersi T-Team musim depan.


"SAYA berhijrah bukannya untuk mencari wang lebih, sebaliknya untuk memberikan tumpuan pada keluarga selepas isteri saya mendapat kerja di Terengganu."

Demikian luahan ikhlas bekas pemain sayap pasukan The Red Warriors, Nor Farhan Muhammad yang menjelaskan mengenai keputusannya meninggalkan juara Piala Malaysia itu.

Menurut beliau, hasrat berkenaan telah dimaklumkan kepada pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) lebih awal tetapi tidak mendapat sebarang maklum balas.

"Untuk pengetahuan semua, saya tidak mendapat tawaran yang lumayan daripada T-Team seperti mana yang dikatakan oleh banyak pihak sebelum ini.

"Saya terkilan dan sedih juga dengan kenyataan Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa yang menyatakan saya melompat untuk mencari gaji yang lebih lumayan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambahnya, sebelum ini tiada sebarang perbincangan di antara pemain dengan Annuar.

"Sedar-sedar beliau (Tan Sri Annuar) hendak bagi RM16,000 kepada saya dan ucapkan terima kasih kerana tawaran itu.

"Di T-Team, saya tidak mendapat sebanyak itu. Kerana keluarga, saya terpaksa berkorban," ujarnya.

Dalam pada itu, Nor Farhan memberitahu, isu itu sebenarnya tidak lagi berbangkit kerana sebelum berhijrah, beliau telah merujuk perkara tersebut kepada FAM terlebih dahulu.

"Saya sudah merujuk surat tawaran yang diberi oleh Annuar kepada FAM dan mendapat pengesahan daripada FAM bahawa surat tawaran itu tidak boleh diterima pakai oleh pemain kerana kandungannya tidak lengkap.

"Dalam surat itu juga tidak ditulis perlu dijawab dalam masa 30 hari dan jumlah gaji yang akan diterima biarpun ada terma serta syarat, jadi saya anggap itu hanya surat tawaran semata-mata dan bukannya kontrak," katanya.

Kosmo! semalam melaporkan tiga bekas pemain Kelantan, Nor Indra Putra Mahayuddin, Nor Farhan Muhammad dan Azizi Mat berdepan kemungkinan digantung satu musim andai mereka didapati bersalah melanggar kontrak bersama pasukan lama mereka, Kelantan.

Indra, Farhan dan Azizi dikatakan telah menyertai pasukan T-Team untuk saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2011 dan mereka dikatakan sudah turun menjalani latihan di Kuala Terengganu pada minggu ini.

Mereka didakwa tidak membalas notis tawaran lanjut kontrak yang dibuat oleh KAFA yang membawa maksud pemain-pemain tersebut telah bersetuju untuk bersama Kelantan bagi musim 2011.

Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pemain yang melanggar syarat tersebut boleh dikenakan hukuman penggantungan selama semusim.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...