Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, December 15, 2010

Benteng usah leka (Harian Metro Online)

SATU-SATUNYA perkara paling digeruni ketua jurulatih K Rajagobal menjelang pertemuan separuh akhir pertama menentang Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini ialah pertahanan kembali melakukan kesilapan mudah seperti ketika bertemu Indonesia, 1 Disember lalu.

“Saya harap pemain tidak melakukan kesilapan sebegitu. Vietnam memiliki ramai pemain yang mampu melakukan gerakan pantas dan andai kesilapan itu berulang, padah pasti menanti.

“Cuba imbas kembali aksi ketika menentang Indonesia di peringkat kumpulan. Kami kalah bukan disebabkan taktik atau corak permainan tetapi disebabkan pemain di benteng pertahanan terlalu kerap hilang bola serta melakukan kesilapan hingga membolehkan penyerang lawan menjaringkan gol.

“Tetapi selepas itu, barulah mereka bermain secara lebih baik dan hasilnya, kita berjaya mengikat Thailand dengan keputusan seri tanpa jaringan serta menang besar ke atas Laos.

“Di Stadium Nasional, kita sepatutnya menggunakan kesempatan beraksi di tempat sendiri kerana suasana di tempat lawan pasti lebih sukar dan bukan mudah untuk menang ke atas Vietnam di tempat mereka. Saya percaya pemain kita sedar hakikat itu dan mereka tidak ada pilihan lain kecuali menang,” kata Rajagobal.

Beliau mengakui Vietnam pasukan kuat dan juara bertahan itu mempunyai kelebihan di setiap posisi tetapi pemain tidak boleh gentar dengan reputasi lawan sebaliknya perlu menterjemah aksi meyakinkan sebagai bekalan pertemuan kedua di tempat lawan, Sabtu ini.

Malaysia melangkah ke separuh akhir kejohanan Piala Suzuki AFF selepas muncul naib juara Kumpulan A dengan menundukkan Laos 5-1 manakala Vietnam pula gah selaku juara Kumpulan B.

“Saya yakin pemain akan bermain lebih baik berbanding di peringkat kumpulan kerana separuh akhir menjanjikan suasana yang jauh berbeza. Lagipun, kita bermain di tempat sendiri dan penting untuk kita mencatat kemenangan di sini.

“Skuad saya masih muda dan inilah kesempatan bagi mereka menjadikan kejohanan Piala Suzuki AFF sebagai antara pertandingan besar yang diingati sepanjang karier sebagai pemain bola sepak profesional,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...