Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, December 15, 2010

Benam Vietnam tidak mustahil (Utusan Malaysia Online)




KUALA LUMPUR – Menumpaskan penyandang juara, Vietnam bukan misi mustahil, apatah lagi Malaysia akan beraksi dengan sokongan padu ribuan penyokong setia pada separuh akhir pertama bola sepak Piala Suzuki Piala AFF 2010 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Selepas kempunan untuk menjuarai kejuaraan paling berprestij dalam saingan bola sepak Asia Tenggara itu sejak penganjurannya 14 tahun lalu, ini mungkin masa terbaik buat K. Rajagobal dan pemainnya membuktikan bahawa Malaysia mampu menjadi antara kuasa besar bola sepak rantau ini.

Jika dilihat nada Rajagobal pada sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, impian itu tidak mustahil boleh direalisasikan tetapi dia mahu pemainnya menyuntik rasa yakin dengan kemampuan diri sendiri sebelum berhasrat menewaskan Vietnam.

‘‘Mereka perlu mengubah mentaliti dan menanamkan keyakinan dalam diri masing-masing sebelum bertemu Vietnam.

‘‘Sepatutnya kita tidak perlu berasa tertekan. Pemain perlu sedar bahawa mereka tidak akan kehilangan apa-apa dalam perlawanan ini kerana tekanan sebenarnya banyak memihak kepada lawan yang merupakan pasukan pilihan dan juara bertahan, ’’ katanya selepas menghadiri mesyuarat pengurus Piala Suzuki AFF, semalam.

Oleh itu, dia berharap semua pemain mampu mempamerkan watak konsisten seperti mana yang ditunjukkan dalam dua aksi terakhir peringkat kumpulan bagi membendung langkahan pantas Vietnam.

‘‘Selepas melalui saat yang sukar di Sukan Asia dengan kecederaan ramai pemain utama, kebanyakan pemain muda yang memikul tanggungjawab membuktikan bahawa mereka boleh bermain baik sehingga mampu melayakkan diri ke separuh akhir Piala AFF.

“Saya mahu mereka teruskan rentak yang sama pada perlawanan esok (hari ini), memang ia satu pengalaman baru buat pemain tetapi mereka tidak perlu takut, tidak perlu gentar, apa yang saya mahu mereka berikan terbaik ketika bermain di atas padang.

‘‘Malah, saya harap pertemuan dengan Vietnam akan menjadi aksi menarik untuk ditonton dan paling penting kita mampu melakar sesuatu untuk diingati oleh peminat sukan bola sepak pada 2010, ’’ katanya lagi.

Walaupun begitu, Rajagobal tetap merendah diri sambil menyifatkan Vietnam memiliki kelebihan di segenap aspek, terutamanya bahagian serangan.

‘‘Mereka cukup pantas dalam melakukan serang balas dan tidak cepat berputus asa, itu merupakan kekuatan Vietnam, ’’ katanya.

Buat pemain pertahanan, Rajagobal memberi pesanan agar jangan lagi mengulangi kesilapan yang sama ketika tumbang 5-1 di tangan Indonesia.

‘‘Perkara ini yang saya paling bimbang kerana pertemuan separuh akhir sudah tentu akan berlangsung dengan penuh sengit.

‘‘Masa kalah kepada Indonesia, persembahan pemain sebenarnya baik cuma kesilapan individu di bahagian pertahanan menyebabkan kita tewas dengan jaringan besar. Namun, saya tengok mereka cepat belajar daripada kekalahan itu dan memperbaiki permainan dalam dua baki saingan,’’ ujar Rajagobal.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...