Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, December 25, 2010

Beli tiket awal - Subahan (Utusan Malaysia Online)

KUALA LUMPUR - Pengurus skuad bola sepak kebangsaan, Datuk Subahan Kamal menyeru peminat tempatan agar mendapatkan tiket perlawanan akhir pertama Piala Suzuki AFF, Ahad ini lebih awal kerana bimbang Stadium Nasional, Bukit Jalil akan dibanjiri penyokong Indonesia.

Jelas Subahan, sikap rakyat negara ini yang gemar membeli tiket di saat akhir harus dikikis kerana mereka perlu sedar perlawanan membabitkan skuad negara dan Indonesia cukup sentimental buat kedua-dua pasukan.

''Beli tiket lebih awal, kalau boleh dapatkan beberapa hari sebelum perlawanan supaya tiket tidak kehabisan kerana diborong oleh penyokong lawan yang kita memang ketahui cukup bersemangat mahu menonton perlawanan ini.

''Pastikan kita dapat menguasai suasana di Stadium Nasional pada malam itu, saya harap lebih kurang 90,000 penyokong kita dapat turun memberikan sokongan padu buat pemain dan pastikan suasana stadium bergema dengan jeritan nama negara.

''Pada aksi separuh akhir pertama 15 Disember lalu, saya kurang gembira kerana hanya 45,000 penonton turun ketika bertemu Vietnam, saya harap situasi itu dapat diubah, turunlah ke stadium dan datanglah seramai yang boleh.

''Saya harap Stadium Nasional tidak akan menjadi seperti Gelora Bung Karno kerana peminat kita tidak hadir atau terlepas mendapatkan tiket,'' katanya yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika dihubungi, semalam.

Skuad Harimau Malaya bimbingan K. Rajagobal akan turun menentang Indonesia pada Ahad ini sebelum bertandang ke Stadium Bung Karno pada 29 Disember bagi melengkapkan perlawanan akhir timbal balik Piala Suzuki AFF 2010.

Beliau turut meniupkan semangat di kalangan peminat setia negara agar yakin dengan kemampuan skuad Malaysia yang terdiri daripada ramai pemain muda berbakat besar untuk menamatkan penantianmenjulang Trofi AFF.

''Peminat kita harus menjadi saksi kepada proses kebangkitan bola sepak negara yang semakin menampakkan kemajuan semenjak Sukan SEA di Laos, tahun lalu, yakinlah bahawa pasukan ini mampu menjuarai Piala Suzuki AFF, '' katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu FAM, Datuk S. Sivasundram berkata, terdapat kemungkinan jualan tiket akan mula dijual Khamis ini memandangkan Sabtu depan jatuh pada hari cuti umum sempena perayaan Hari Natal.

''Itu antara cadangan awal yang akan dikemukakan pada mesyuarat yang akan dijalankanesok (hari ini).

''Selain itu, terdapat cadangan untuk memberikan kuota tiket bagi penyokong tuan rumah dan lawan, semua itu akan dikaji dan kami akan putuskan pada mesyuarat jawatankuasa tiket dan pintu nanti, '' ujarnya.

Malaysia menyingkirkan penyandang juara, Vietnam 2-0 pada separuh akhir, manakala Indonesia turut mencatat jumlah kemenangan yang sama ke atas Filipina pada satu lagi saingan separuh akhir.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...