Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, December 15, 2010

Bajet FAP dikurangkan (Harian Metro Online)

PERSATUAN Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) hanya mampu menyediakan peruntukan RM40,000 sebulan untuk membayar gaji kepada 21 pemain yang akan menghadapi Liga Perdana musim terbaru bermula pertengahan Januari ini.

Jumlah itu tidak termasuk gaji jurulatih serta pegawai pengurusan dan bajet itu sudah dimaklumkan kepada semua pemain dalam satu perjumpaan khas di Rumah FAP di Jalan Scotland, semalam.

Setiausaha FAP, Ariffin Yatim berkata, bajet Liga Perdana musim ini dikecilkan kerana persatuan menghadapi masalah kewangan meruncing.

“Kami terpaksa menjimatkan belanja untuk membayar gaji pemain dan pegawai termasuk jurulatih baru, Robert Scully,” katanya.

Menurutnya, FAP tidak mampu berbelanja besar seperti negeri lain kerana tidak mahu berakhir dengan hutang yang membebankan semua pihak.

“Pemain bersetuju dengan bajet diumumkan. Ramai pemain luar dari Pulau Pinang bersedia menerima gaji rendah,” katanya.

Daripada 21 pemain disenaraikan untuk dikemukakan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hanya enam saja pemain musim lalu dikekalkan.

Mereka ialah Kugen Subramaniam, Mohammad Idzwan Salim, K Kuyilan, R Paremeswaren, Ramat Najib dan Khairul Azri Jamal Abd Haziq.

Untuk melengkapkan senarai pemain, Pulau Pinang mendapatkan khidmat 17 pemain luar dan FAP bersyukur kerana mereka bersedia menerima gaji rendah tidak seperti dinikmati ketika mewakili pasukan masing-masing musim lalu.

Penjaga gol Perak musim lalu, Megat Amir Faisal Ibrahim (gambar) mengetuai pemain luar yang menyarung jersi Pulau Pinang.

Megat Amir yang berasal dari negeri itu pernah mewakili skuad kebangsaan ke kejohanan bertaraf antarabangsa sebelum ini dan pengalamannya pasti membantu Pulau Pinang.

Turut mengikut jejak Megat Amir bermain dengan skuad Harimau Kumbang ialah S Sathiakumaran dan Mohd Arif Fazlie Saidin.

Pemain luar lain yang mewakili Pulau Pinang ialah Mohd Hafidz Romly dari KL Plus, S Kumaresan (Johor), Hafizi Roslee (PKNS), Muhamad Riduwan Ramlee (Kedah), Wan Zain Wan Azizan (Kedah), Noorshahheirmiezal Sharudin (Kedah), Rizal Ahmad (Felda United), Mohd Noraslan Makhtar (USM), Abd Latiff Suhaimi (Melaka), Premnath (Selangor), Suvinart (Perlis) dan Muhammad Elfie Harizam (Perlis). FAP melantik Teoh Soo Beng sebagai pengurus baru pasukan itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...