Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, December 29, 2010

Ayuh Harimau Malaya! (Utusan Malaysia Online)




JAKARTA - Ujian pertama sudah lulus.Kini, lupakan seketika kemenangan lalu. Buat para pemain negara, mereka tidak perlu hanyut dibuai kejayaan manis menang 3-0 pada pertemuan pertama minggu lalu kerana laluan berduri yang akan menguji ketahanan mental dan fizikal akan menanti di bumi Jakarta, hari ini.

Memang laluan yang akan dihadapi oleh pemain negara kita cukup perit pada malam ini. Bukan kerana tekanan berhadapan 80,000 penyokong merah putih, malahan sikap provokasi yang dipamerkan oleh media dan rakyat Indonesia di sini jelas sanggup melakukan apa sahaja asalkan konsentrasi dan fokus pemain terjejas.

Sejak hari pertama tewas, isu penggunaan laser terus menjadi bahan ungkitan terutamanya pihak media, malahan ketika hari terakhir persiapan antara kedua-dua pasukan.

Isu remeh ini terus dipanaskan sehingga tahap mendidih seolah-olah Malaysia mendapatkan kemenangan di Kuala Lumpur dengan cara tidak bermaruah.

Biarkan kem Indonesia terus memilih pendekatan sebegitu kerana sebenarnya mereka jelas amat mencemburui skuad Harimau Malaya yang kini berpeluang menjulang trofi AFF buat kali pertama.

Atas kertas, keyakinan Malaysia cukup tinggi walaupun kita akan kehilangan khidmat Mahalli Jasuli dan Mohd. Amirulhadi Zainal. Namun kekuatan keseluruhan skuad ini tidak sedikit pun akan terjejas.

Ashari Samsudin dan Mohd. Sabre Mat Abu yang dijangka menjadi taruhan mampu menggalas kekosongan yang ditinggalkan dan Malaysia tidak perlu berasa tertekan berbanding Indonesia.

Jurulatih skuad negara, K. Rajagobal mungkin akan memilih bermain secara bertahan sepanjang 90 minit di Gelora Bung Karno di samping cuba melancarkan serangan balas jika berpeluang.

Skuad negara tidak perlu bermain cantik dan apa paling penting adalah efisien daripada segi keputusan.

Keputusan di Hanoi, kita telah membuktikannya.

Apa yang penting, para pejuang negara wajib tidak melepaskan gol awal pada Indonesia di 15 minit pertama permainan. Sekiranya kita meraih gol awal, Malaysia boleh dikatakan hampir pasti akan pulang ke Kuala Lumpur selaku juara Piala AFF.

Di pihak Indonesia, walaupun keyakinan di kalangan peminatnya masih tinggi dan optimis bahawa skuad kesayangan mereka itu akan muncul juara dan Malaysia bakal diganyang di kandang tuan rumah, ketiadaan Oktovianus Maniani mungkin menjejaskan rentak mereka.

Semua pemain Indonesia jelas berada dalam tekanan berbanding kem Malaysia kerana harapan yang diletakkan oleh para peminatnya begitu tinggi dan ekstrem. Situasi itu perlu diambil oleh pemain negara kerana kemungkinan kesilapan bakal dilakukan oleh pemain Indonesia.

Buat Safiq Rahim dan rakan-rakan, ayuh ulangi persembahan menakjubkan di Kuala Lumpur pada pukul 8 malam ini dan benamkan ego Indonesia. Malaysia Boleh! - UTUSAN

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...