Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Wednesday, December 15, 2010

Amirul yakin layak ke final (Harian Metro Online)

Oleh Lokman Zainal Abidin
lockman@nstp.com.my

Mohd Amirulhadi Zaina
Mohd Amirulhadi Zaina

JIKA benar seperti apa diperkatakan Mohd Amirulhadi Zainal (gambar), maka impian Malaysia untuk melangkah ke perlawanan akhir kejohanan Piala Suzuki AFF 2010 pastinya bukan lagi satu angan-angan.

“Fizikal dan mental semua pemain sudah lebih baik berbanding ketika kami di peringkat kumpulan lalu.” Itulah laungan semangat diluahkan pemain sayap kanan skuad kebangsaan itu menjelang pertemuan separuh akhir pertama menentang Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.

Sememangnya keyakinan serta semangat itulah sangat diperlukan barisan pemain negara ketika ini dan kemampuan anak buah ketua jurulatih K Rajagobal itu layak ke separuh akhir kejohanan dwitahunan itu sudah pun membuktikan kelompok anak muda itu benar-benar serius melahirkan hasrat untuk ke perlawanan akhir.

Ditumbangkan 5-1 oleh Indonesia pada perlawanan pembukaan di Stadium Gelora Bung Karno sebelum bangkit mempamer aksi meyakinkan ketika mengikat juara tiga kali, Thailand dengan keputusan seri tanpa jaringan dan membelasah Laos 5-1 pada perlawanan terakhir menceritakan betapa mereka memang mempunyai masa depan yang cerah.

“Saya dapat rasakan keadaan kami sekarang lebih baik berbanding ketika saingan peringkat kumpulan sebelum ini. Suasana dalam pasukan juga hebat dan semuanya bersemangat untuk bertemu Vietnam. Suasana sebegini tidak ada ketika kami di Jakarta sebelum ini.

“Memang kami sudah menanam azam untuk melangkah ke peringkat paling tinggi dalam kejohanan ini. Sekarang kami berada di separuh akhir dan sudah tentu tidak mahu mensia-siakan peluang terhidang. Bukan saya mahu merendahkan Vietnam. Mereka adalah juara bertahan tetapi kalau kami bermain dengan semangat seperti sekarang ini, tidak mustahil kami akan menang,” katanya.

Malaysia selaku naib juara Kumpulan A akan melayan juara Kumpulan B, Vietnam di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Rabu ini sebelum bertandang ke Stadium Mydinh di Hanoi untuk pertemuan kedua.

Justeru, Amirulhadi sedar mereka perlu membawa bekalan secukupnya untuk ke tempat lawan dan dia berazam membuktikan kemampuannya di hadapan penyokong sendiri, Rabu ini.

“Saya tidak tahu sama ada akan diturunkan atau tidak tetapi kalau diberi peluang, saya akan pastikan kami menjaringkan sebanyak mungkin gol sebagai bekalan ke Vietnam.

“Kami perlu gunakan sepenuhnya peluang beraksi di tempat sendiri dan semua pemain sedar kami tidak boleh kalah di sini kerana ia akan hanya mengundang padah apabila beraksi di tempat lawan,” katanya.

Ini separuh akhir pertama buat Amirulhadi sepanjang membabitkan diri dalam saingan Piala Suzuki AFF kerana ketika mewakili negara buat pertama kali dua tahun lalu, Malaysia gagal melepasi peringkat kumpulan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...