Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Sunday, December 5, 2010

Akmal Rizal kesal tidak dapat bonus (Utusan Malaysia Online)


Akmal Rizal Rakhli akan menyertai pasukan Perak musim depan.


KOTA BHARU - Bekas penyerang Kelantan, Akmal Rizal Rakhli kesal dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang didakwanya tidak berpegang kepada janji dan tidak adil dalam isu pembahagian bonus kemenangan Piala Malaysia musim lalu.

Akmal mendakwa, dia bersama lima lagi pemain tidak diberikan bonus kerana mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan Kelantan sebaik sahaja musim Liga Malaysia 2010 berakhir.

"Saya bersama Hairuddin Omar, Indra Putra Mahayuddin, Azizi Mat Rose, Nor Farhan Mohamad dan Syed Adney Syed Hussin tidak mendapat bonus sedangkan kami berada dalam skuad utama.

"Pada masa yang sama, saya mendapat tahu pemain yang kekal telah diberikan bonus kemenangan itu mengikut kadar tertentu tetapi saya berharap Presiden KAFA, Tan Sri Anuar Musa akan dapat menyelesaikannya selepas pulang daripada luar negara nanti," dakwanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Difahamkan, pembayaran bonus mengambil kira persembahan dan gaji pokok pemain yang rata-rata dipercayai antara RM3,000 hingga RM20,000.

Sepanjang musim lepas, pasukan Kelantan dilihat sebagai skuad yang mantap tanpa sebarang masalah membabitkan pemain, bagaimanapun sebaik sahaja menjulang Piala Malaysia beberapa tonggak dikatakan akan berhijrah ke pasukan lain.

Dua pemain iaitu Akmal Rizal dan Hairuddin sah akan beraksi dengan Perak serta Negeri Sembilan, bagaimanapun kedudukan kapten pasukan, Indra Putra, Azizi dan Syed Adney masih belum diketahui biarpun desas-desus mengatakan mereka akan berhijrah ke T-Team.

Selasa lalu, Anuar melahirkan rasa kecewa dengan sikap segelintir pemain yang disifatkannya sebagai lupa diri selepas berjaya mencipta nama dengan The Red Warriors.

Beliau meluahkan kekecewaan itu melalui laman sosial Facebook peribadinya dan menyifatkan beberapa pemain Kelantan sebagai 'pemain yang hari ini mula ada nama telah lupa bahawa dulu mereka nobody (tidak terkenal)'.

Akmal Rizal yang juga bekas penyerang kebangsaan berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Pas Kelantan kerana memberikan bonus RM200,000 dan berharap KAFA mengagihkannya secara adil.

"Saya percaya KAFA akan mengagihkan wang ini kepada semua pemain termasuk kami yang telah berhijrah ke pasukan lain," katanya.

Mengulas lanjut, dia berkata, luahan Anuar itu bukan dituju kepadanya dan Hairuddin kerana mereka tidak ditawarkan kontrak secara rasmi.

"Sebaik sahaja musim ini habis, KAFA telah menawarkan kontrak kepada saya tetapi secara mulut sahaja, tidak ada hitam putih sehingga saya buat keputusan berhijrah ke Perak," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...