Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, November 11, 2010

Tawaran luar biasa (Harian Metro Online)

Oleh Azizan Hashim

PERAK khuatir harga pasaran pemain bola sepak tempatan terjejas berikutan tindakan sebuah persatuan negeri membuat tawaran ‘luar biasa’ dalam usaha memancing khidmat pemain diingini untuk memperkuatkan cabaran dalam kancah Lima M, musim 2011.

Kebimbangan itu disuarakan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin (gambar) berikutan gejala yang berlaku ketika ini turut merosakkan pemain muda yang meningkat.

“Bayangkan seorang pemain muda menerima tawaran gaji puluhan ribu . Adakah ia setimpal dengan statusnya sebagai pemain yang meningkat.

“Lagipun amalan ini tidak baik kerana pasukan terbabit bakal menjadi medan himpunan pemain bertaraf ‘bintang’ berikutan tawaran lumayan yang mampu diberikan kerana ingin memancing pemain tertentu.

“Angka gaji ditawarkan pasukan ini cukup lumayan. Tiada pemain mampu menolaknya. Namun pada masa sama tindakan itu membuat harga pasaran pemain juga melonjak.

“Apa akan jadi pada pasukan kurang berkemampuan. Mereka akan terus ketinggalan kerana tidak mampu bersaing untuk mendapatkan khidmat pemain berwibawa ,” katanya.

Zainol yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Negeri bagaimanapun enggan mendedahkan identiti persatuan negeri terbabit.

Justeru itu beliau berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memantau perkara itu agar berlaku keseimbangan dalam kemajuan dan peningkatan mutu bola sepak di kalangan ahli gabungan.

Dalam perkembangan lain, Zainol berkata, sebagai majikan, persatuan bola sepak negeri berhak memastikan agar perjanjian dimeterai dengan pemain tidak bersifat berat sebelah.

“Persatuan negeri yang membayar gaji pemain jadi mereka berhak membuat perjanjian yang mempunyai sifat menang-menang.

“Tambahan pula perjanjian itu dibuat selepas kedua-dua pihak berunding dan mencapai persetujuan,” ”katanya ketika mengulas teguran FAM mengenai hasrat Perak untuk mengkaji kontrak pemain berikutan berlaku ketidakseimbangan.

Zainol berkata Pafa tidak berniat membelakangkan FAM atau membuat kontrak berlainan daripada disediakan badan induk sebaliknya hanya menambah baik beberapa aspek tertentu yang dirasakan merugikannya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...