Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Monday, November 1, 2010

The Red Warriors berhak juara musim ini: Sathia (Sinar Harian Online)


KUALA LUMPUR – Melihat kepada aksi kebangkitan mendadak pemain Kelantan bermula separuh masa kedua, sudah terdetik di dalam hati Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan bahawa malam semalam adalah milik Kelantan untuk menjulang Piala Malaysia buat kali pertama.

Biarpun ketinggalan 1-0 sepanjang sepanjang 43 minit perlawanan berlangsung, tetapi semangat juang yang tinggi serta sikap tidak mudah berputus asa, menterjemahkan dua gol dalam tempoh lapan minit pada awal babak kedua memastikan kejuaraan milik Kelantan pada musim ini

“Memang kita patut menjadi juara. Hampir 70,000 penyokong Kelantan di stadium dan jutaan peminat yang menonton televisyen, harus bersetuju dengan pendapat saya bahawa Kelantan berhak menang dalam perlawanan itu.

“Memang pemain kita beraksi gugup pada separuh masa pertama. Apabila kita kembali mendapat semangat, kita tidak boleh kalah dalam perlawanan malam semalam. Secara keseluruhannya kita merupakan pasukan yang paling konsisten dalam Liga Malaysia sepanjang musim ini.

“Ini merupakan hadiah sempena pemasyhuran Sultan Kelantan yang baru. Ini juga merupakan salah satu kesinambungan daripada Tahun Bola Sepak Kelantan (TBSK) pada tahun ini. Saya berharap kejuaraan ini akan membawa hasil kepada pembangunan bola sepak di negeri Kelantan nanti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Sathianathan berkata, sebaik para pemain memasuki bilik persalinan pada waktu rehat, beliau mengarahkan pemain mengubah corak permainan dan hasilnya Kelantan memperoleh dua gol pada awal babak kedua.

“Bila kita ketinggalan satu gol, pemain menyedari bahawa kita tidak boleh kalah lagi. Mereka membuktikan kita bukan sebuah pasukan yang hebat sekadar hanya 20 minit tetapi lebih daripada itu sebenarnya.

“Semangat yang tinggi, faktor kecergasan yang baik merupakan antara kunci kejayaan kita malam semalam. Kita berjaya menguasai hampir keseluruhan perlawanan pada babak kedua,” katanya.

Sathianathan berkata, selaku jurulatih Kelantan yang membimbing selama 13 bulan, perasaan beliau cukup puas apabila berjaya menyingkirkan dua lawan iaitu Kedah dan Negeri Sembilan dalam tempoh terdekat itu.

“Kedua-dua pasukan ini pernah mengecewakan kita sebelum ini. Jadi kejayaan mengalahkan kedua-dua pasukan ini sudah cukup menggembirakan saya. Saya tidak tahu menzahirkan perasaan macam mana lagi, selain begitu gembira,” katanya.

Malah lebih menarik, inilah kejayaan pertama beliau dalam liga domestik sepanjang berkecimpung dalam dunia bola sepak selama 14 tahun.

“Kalau mengambil kira dalam pencapaian liga tempatan, kejayaan merangkul Piala Malaysia ini merupakan pencapaian terbaik bagi karier diri saya. Selama 14 tahun, tumpuan saya lebih bersama skuad kebangsaan. Kecuali pada tahun 2006, saya diberi peluang menjadi Ketua Jurulatih MBPJ.

“Tetapi amat malang bagi saya, walaupun membimbing MBPJ mengharungi enam perlawanan tanpa kalah tetapi saya disingkirkan. Pengganti saya, Tony Netto (bekas jurulatih Perak) walaupun dengan 11 rekod kekalahan bersama pasukan tersebut, tetapi orang kita nampak gayanya masih lagi percayakan jurulatih luar berbanding jurulatih tempatan.

“Jadi selama 13 bulan di Kota Bharu melatih Kelantan dengan dua kali masuk final, dua kali bergelar naib juara (Liga Super musim ini dan Piala Malaysia musim lalu), menjadi juara pula malam semalam dan bersama pasukan yang hanya kalah dua kali sepanjang musim ini, itu satu pencapaian yang menakjubkan bagi diri saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena