Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, November 4, 2010

Rajagobal pilih Norhafiz (Kosmo Online)


TENGKU ABDULLAH (kanan) memperkatakan sesuatu kepada pemain negara yang akan berlepas ke Guangzhou esok.


KEPINCANGAN di bahagian pertahanan memaksa jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, K. Rajagobal untuk memilih Norhafiz Zamani Misbah dalam senarai terakhir skuad negara yang akan menggalas cabaran pada Sukan Asia di Guangzhou, China minggu depan.

Norhafiz adalah antara tiga pemain melebihi umur yang disenaraikan oleh Rajagobal dalam skuad tersebut.

Dua lagi ialah Norshahrul Idlan Talaha dan S. Kunanlan.

Turut disenaraikan ialah sembilan pemain Harimau Muda A iaitu penjaga gol, Zamir Selamat, Muslim Ahmad, Mahali Jasuli, Fadhli Shas, Faizal Muhammad, K. Gurusamy, Gary Steven Robbat, Fandi Othman dan Izzaq Faris Ramlan.

Baki lapan pemain lain pula terdiri daripada penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, Asraruddin Putra Omar, Safiq Rahim, Amar Rohidan, S. Chanturu, Khyril Muhymeen Zambri, Faizal Abu Bakar dan Ahmad Fakri Saarani.

“Tiga pemain senior yang saya pilih ini adalah berdasarkan keperluan posisi. Norshahrul telah membuktikan bahawa dia merupakan penyerang terbaik manakala Kunanlan pula telah mempamerkan prestasi yang konsisten.

“Norhafiz pada mulanya tiada dalam perancangan ke Sukan Asia. Tapi selepas masalah kecederaan melanda beberapa pemain pertahanan, saya perlukan seorang pemain berpengalaman di situ,” kata Rajagobal pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Dengan pengumuman tersebut, enam baki pemain senior lain iaitu Safee Sali, Amirulhadi Zainal, Ashaari Shamsuddin, Sharbinee Allawee Ramli, Farizal Marlias dan Azmi Muslim hanya akan ditagih khidmat mereka untuk saingan Piala AFF Suzuki 2010 di Jakarta awal bulan depan.

Bagi saingan Sukan Asia, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan A akan bertemu Kyrgyzstan pada perlawanan pertama Isnin depan, diikuti pertemuan dengan Jepun (10 November) dan tuan rumah, China (13 November).

“Secara jujurnya, kita sudah tahu Jepun dan China bakal menduduki dua tangga teratas jika berdasarkan sejarah dan kekuatan mereka. Kita pula tanpa ramai tonggak utama yang cedera.

“Sama seperti Sukan SEA 2009, saya tak letak apa-apa sasaran. Cuma yang penting, kita perlu pastikan satu keputusan positif pada perlawanan pertama bagi menentukan hala tuju seterusnya,” jelas Rajagobal.

Sembilan pemain yang terpaksa digugurkan akibat kecederaan ialah Aidil Zafuan Radzak, Zaquan Adha Radzak, Nasriq Baharom, Baddrol Bakhtiar, Sabre Mat Abu, Bunyamin Umar, Sharbinee, Farizal dan Azmi.

Pengurus pasukan, Datuk Subahan Kamal pula tetap yakin bahawa skuad negara mampu melangkah ke pusingan kedua.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...