Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, November 13, 2010

Rajagobal pening (Harian Metro Online)

BARISAN K Rajagobal hanya selangkah untuk menamatkan penantian 32 tahun Malaysia layak ke pusingan kedua Sukan Asia dan detik itu bermula di Stadium Tianhe, malam ini.

Malaysia hanya memerlukan seri untuk muncul naib juara Kumpulan A bagi layak secara automatik ke pusingan itu.

Namun, ia bukan mudah seperti A, B, C. Malaysia berdepan tugas berat menentang pasukan tuan rumah, China yang hanya mahukan kemenangan mutlak.

Keputusan seri tidak ada dalam kamus mereka kerana jika ia berlaku, maruah selaku negara yang layak beraksi di pentas Piala Dunia 2002 akan tercemar.

Jika tewas sekalipun, skuad negara masih berpeluang layak selaku empat pasukan terbaik tempat ketiga. Ia bergantung kepada perlawanan Kumpulan C antara Jordan dan Palestin.

Kali terakhir Malaysia melangkah ke pusingan kedua adalah pada Sukan Asia 1978 Bangkok. Namun skuad negara dibelasah China 7-1. Edisi selepas itu semuanya terkandas awal, malah pada Sukan Asia Bangkok 1998, FAM tidak langsung menghantar pasukan kerana ketika itu skuad kebangsaan digantung penyertaan antarabangsa dua tahun ekoran kekalahan memalukan di Sukan Sea Jakarta 1997.

Namun, ketika persiapan menghadapi perlawanan itu, Rajagobal berada dalam dilema dalam menyusun kesebelasan utamanya. Menurut beliau, pemain gantian seperti Mohd Khyril Muhymeen Zambri, Izzaq Faris dan Faizal Abu Bakar berjaya memberikan aksi meyakinkan.

“Ini masalah saya sekarang siapa perlu diturunkan dalam kesebelasan utama. S Chanthuru dan Khairul Idlan cergas untuk diturunkan.

“Saya perlu menyusun strategi bijak kerana ini adalah perlawanan penting untuk pasukan. Barisan ini nanti akan menterjemahkannya di atas padang dan saya harap apa yang dirancang menjadi,” katanya.

Pada sesi latihan semalam, Rajagobal mempelbagaikan formasinya dengan adakalanya meletakkan satu penyerang tunggal, merubah posisi Chanthuru, Khairul Idlan dan Faizal.

Congakan strategi adalah masalahnya namun Rajagobal mahu pemain supaya tidak terlalu bimbang, tenang dan bersikap positif.

“Apapun keputusannya kelak, mereka telah bermain dengan baik, malah melangkaui jangkaan. Bukan mudah dalam kumpulan maut itu dengan kehadiran Jepun, China dan Kyrgyzstan.

“Tiada apa perlu dikesalkan. Bagi saya mereka wajar mendapat pujian. Daripada pemain simpanan, ada antara mereka kini menjadi tonggak utama.

“Untuk itu saya harap mereka terus fokus dan pamerkan aksi konsisten seperti yang ditunjukkan sebelum ini,” katanya.

Jauh di hati Rajagobal, beliau mengakui barisannya juga mempunyai harapan, sama seperti China namun tidak mahu terlalu menekan pemain kerana bimbang ia bakal menambah tekanan.

“Permintaan saya kepada mereka supaya sentiasa ceria di atas padang, garang bila bersaing dan pantas jika mendapat peluang di depan gawang lawan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...