Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, November 6, 2010

Rajagobal intip kekuatan lawan (Harian Metro Online)

Oleh Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my

SELEPAS selesai menyusun barisan 20 pemain untuk menganggotai skuad ke Sukan Asia Guangzhou, Ketua Jurulatih Bola Sepak Kebangsaan, K Rajagobal mula mengatur strategi.

Langkah perlu dilakukannya adalah mendapatkan maklumat terperinci mengenai kekuatan Kyrgyzstan, Jepun dan tuan rumah China yang akan ditentang dalam saingan peringkat Kumpulan A bermula Isnin ini.

“Tidak banyak maklumat mengenai Kyrgyzstan yang saya tahu cuma pasukan ini lebih kurang sama dengan pasukan bekas jajahan Soviet seperti Uzbekistan, mereka sama macam pasukan Eropah yang mempunyai fizikal yang sasa.

“Sebelum ini kami hanya melakukan perlawanan ujian dengan Korea Selatan dan bukannya pasukan yang berada dalam kumpulan sama. Saya akan cuba mendapatkan maklumat mengenai China dan Jepun, apa yang pasti kehebatan dua pasukan ini sudah terbukti,” katanya.

Rajagobal bersama 20 pemain termasuk tiga pemain berusia lebih 23 tahun, Norhafiz Zamani Misbah selaku kapten, S Kunalan dan Norshahrul Idlan berlepas ke Guangzhou semalam.

Bagaimanapun, skuad negara itu dilihat pincang tanpa sepuluh tonggak utama yang cedera termasuk Mohd Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abd Razak, Nasriq Baharom, Mohd Sharbinee Allawee, Mohd Farizal Marlias dan Baddrol Bakhtiar.

Dengan kekuatan pemain dimiliki, Rajagobal mahu semua pihak tidak meletakkan harapan tinggi kepada pasukannya apatah lagi tahap Sukan Asia lebih tinggi berbanding ketika meraih pingat emas di Sukan Sea Laos tahun lalu.

“Malaysia sama kumpulan dengan China dan Jepun, jadi saya nak tanya anda, siapa yang akan layak? Ini adalah pasukan handalan di rantau ini, saya tidak mahu meletakkan sasaran tapi saya cuma mahu mengambil pendekatan dengan memberi tumpuan pada satu perlawanan ke satu perlawanan, seperti dilakukan di Sukan Sea.

“Saya mahu semua pemain beraksi dengan baik dan jangan sesekali takut berdepan lawan,” katanya.

Pada Sukan Asia Doha, empat tahun lalu, pasukan negara gagal melepasi halangan peringkat kumpulan E apabila tewas dalam kesemua tiga perlawanan menentang Oman 3-1, China 3-1 dan Iraq 4-0.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...