Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, November 13, 2010

PBNS bantah FAM (Harian Metro Online)

Oleh Mohd Amin Jalil

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) tidak puas hati terhadap tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menetapkan perlawanan pembuka tirai saingan Liga Malaysia musim 2011 bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah antara juara Piala Malaysia dengan juara Liga Super dan bukannya menemukan antara juara Piala FA dan juara Piala Malaysia seperti mana sebelum ini.

Berikutan itu, PBNS menghantar surat bantahan kepada Setiausaha Agung FAM, Datuk Azuddin Ahmad, kelmarin kerana menyifatkan tindakan FAM mengubah peraturan berkenaan tidak profesional selain tidak mengutamakan kepentingan pasukan yang bertanding.

Menteri Besar merangkap Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Setiausaha Kehormat PBNS, Datuk Abd Halim Abd Latif sudah menghantar surat bantahan kepada FAM dengan harapan badan induk bola sepak negara itu membuat pertimbangan bijaksana dan mengutamakan kepentingan pasukan yang bersaing dalam Liga Malaysia.

“Kami harap FAM membuat penilaian semula kerana bantahan ini bukan kerana Negeri Sembilan tidak dapat beraksi merebut trofi pertama daripada empat trofi dipertandingkan. Kami tidak berniat mengkritik FAM, tetapi tindakan ini lebih menjurus kepada kepentingan semua pasukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari dan penyampaian insentif kepada pemain dan pegawai pasukan bola sepak Negeri Sembilan di Seremban semalam.

Berikutan peraturan baru itu, perlawanan pembuka tirai Januari ini bakal menemukan Kelantan dengan Selangor.

Mengenai persiapan Negeri Sembilan, Mohamad yang puas hati dengan pencapaian skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan musim ini berkata, pihaknya kini berusaha membentuk skuad mantap dalam usaha melonjakkan lagi prestasi dengan sasaran mempertahankan Piala FA selain merampas kembali Piala Malaysia dan menjuarai Liga Super.

Menurutnya, bagi memastikan misi itu tercapai, Negeri Sembilan berusaha mendapatkan beberapa pemain kebangsaan dan berpengalaman daripada pasukan lain bagi mengisi beberapa posisi terutama penyerang dan pertahanan.

Beliau bagaimanapun enggan menamakan pemain terbabit bagi mengelak spekulasi atau masalah kerana terdapat beberapa pemain yang mempunyai kontrak dengan pasukan lama.

Mohamad bagaimanapun mengesahkan Wan Jamak kekal musim depan dan pihaknya meletakkan harapan tinggi kepada jurulatih berpengalaman itu agar terus berusaha membantu merealisasikan sasaran ditetapkan PBNS.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...