Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, November 4, 2010

Norhafiz penyelamat (Harian Metro Online)

Oleh Aziman Rosdi

KETIKA benteng pertahanan goyah angkara kecederaan yang menimpa beberapa pemain utama, pemain senior Norhafiz Zamani Misbah ibarat penyelamat kepada masalah yang melanda skuad bola sepak kebangsaan yang akan beraksi di Sukan Asia Guangzhou.

Pemain berusia 29 tahun yang mewakili KL Plus sebelum ini dipanggil menyertai skuad seramai 20 pemain oleh ketua jurulatih kebangsaan, K Rajagobal selepas tonggak utama, Mohd Aidil Zafuan Abd Razak dan Mohd Nasriq Baharom terpaksa disisihkan kerana kecederaan di saat akhir.

Selain Norhafiz yang turut diberikan tugas sebagai kapten, dua lagi pemain yang mengisi kuota tiga pemain berusia lebih 23 tahun adalah pemain Negeri Sembilan, S Kunalan dan pemain paling berharga 2010, Norshahrul Idlan Talaha.

Menurut Rajagobal, keutamaannya sebelum ini adalah untuk membawa penjaga gol senior dalam skuad namun masalah kecederaan pemain pertahanan menyebabkan beliau membawa masuk Norhafiz.

“Saya memerlukan pemain pengalaman untuk menerajui bahagian pertahanan, walaupun saya nak penjaga gol tapi saya hanya boleh bawa tiga pemain saja. Norshahrul sudah buktikan dia adalah penyerang terbaik ketika ini, Kunalan pula beraksi dengan konsisten dan bertenaga.

“Secara jujur, Norhafiz tidak ada dalam rancangan saya sebelum ini tapi saya memerlukan pemain pertahanan dan dia mempunyai pengalaman luas jadi dia berhak berada dalam skuad,” katanya yang pada sidang media selepas majlis pelancaran jersi baru skuad kebangsaan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam.

Turut hadir pada majlis itu adalah, Timbalan Presiden FAM, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan pengurus pemasaran Nike Malaysia, Menaha Nadaraja.

Rajagobal berdepan masalah untuk memilih 20 pemain ke Sukan Asia selepas 10 pemain termasuk pemain utama seperti pemain pertahanan Aidil Zafuan, Nasriq, Azmi Muslim, penjaga gol Mohd Sharbinee Allawee dan Mohd Farizal Marlias serta penyerang Zaquan Adha Abd Razak bergelut dengan kecederaan.

Bagaimanapun, pengendali negara itu menegaskan pemain yang akan menggalas cabaran negara itu sudah bersedia memberikan aksi terbaik di Sukan Asia meskipun sedar ranjau berdepan tuan rumah China, Korea Selatan dan Kyrgystan dalam saingan peringkat kumpulan.

“Saya tanamkan keyakinan kepada pemain-pemain bahawa merekalah yang terbaik. Mereka yang dipilih perlu menunjukkan kesungguhan dan beraksi dengan baik, jangan takut dengan pasukan lain,” kata Rajagobal yang akan berlepas bersama skuadnya Jumaat ini ke Guangzhou.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...