Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, November 2, 2010

Negeri Sembilan buru pemain bintang (Utusan Malaysia Online)

KUALA LUMPUR - Sejurus selepas gagal mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia, Negeri Sembilan sudah merangka pelan untuk memantapkan pasukan bagi menghadapi musim baru Liga Malaysia 2011.

Jurulatih mereka, Wan Jamak Wan Hassan berkata, skuad Hoben Jang Hoben itu dalam pencarian mendapatkan beberapa pemain berpengaruh bagi mengukuhkan cengkaman mereka yang akan beraksi dalam Piala AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia).

''Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hassan ada berjumpa dan memberitahu saya mahu mencari pemain berpengalaman yang mampu mengimbangi perjalanan liga yang panjang.

''Seperti anda semua sedia maklum, tahun hadapan kita akan hadapi 50 perlawanan termasuk Piala Malaysia dan mungkin hingga 60 perlawanan kerana kita mungkin terlibat dalam kejohanan Piala AFC.

''Walaupun beliau amat gembira dengan pencapaian sekarang tetapi untuk mempertahankan kedudukan sedia ada, beliau mahu saya mendapatkan lebih ramai pemain berpengalaman datang ke Negeri Sembilan, '' katanya pada sidang media selepas perlawanan akhir Piala Malaysia, kelmarin.

Segala yang diperkatakan oleh Wan Jamak jelas tepat jika dilihat kepada kekuatan Negeri Sembilan, musim ini.

Selain banyak bergantung harap kepada dua beradik kembar, Mohd. Aidil Zafuan dan Zaquan Adha Abdul Razak, mereka hanya mempunyai beberapa tonggak berpengalaman seperti Shukor Adan, Rezal Zambery Yahya, Idris Karim dan Ching Hong Aik.

Sekiranya pemain tersebut mengalami kecederaan, mereka menghadapi masalah mencari pengganti yang sesuai kerana pemain simpanan yang terdiri daripada tenaga muda jelas tidak mempunyai kemampuan setanding.

Ia dibuktikan pada perlawanan akhir kelmarin skuad Rusa tampak tempang tanpa Rezal. Memburukkan lagi keadaan, Aidil pula dikeluarkan pada separuh masa kedua kerana cedera, sekali gus membuang ruang untuk gol kemenangan Kelantan yang dijaringkan oleh Mohd. Badri. Mohd Radzi.

Difahamkan setakat ini, Negeri Sembilan bercadang melamar beberapa pemain yang beraksi bersama skuad kebangsaan dan juga bekas pemain kebangsan.

Mengulas pencapaian Negeri Sembilan selepas tiga tahun membimbing pasukan itu, Wan Jamak puas hati kerana dapat merubah mereka menjadi antara skuad elit dalam Liga Malaysia.

''Masa saya ambil pasukan ini, tiada jurulatih berani mengendalikan Negeri Sembilan tetapi saya anggap itu sebagai cabaran dan lihatlah sekarang, kami berjaya menjadi juara Piala Malaysia tahun lalu dan Piala FA musim ini.

''Malah, Presiden PBNS sendiri berbangga dengan skuad ini kerana diwakili 90 peratus anak jati Negeri Sembilan, '' katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...