Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Friday, November 5, 2010

Kelantan yakin raih tiga mata (Sinar Harian Online)



KOTA BHARU – Skuad Piala Emas Raja-Raja Kelantan berazam mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan pertama peringkat Kumpulan B, Kejohanan Piala Emas Raja-Raja Edisi Ke-70 yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu bermula hari ini.

Kelantan menjadi tuan rumah bagi Kumpulan B, melibatkan tiga lagi pasukan iaitu ATM, Pulau Pinang dan Johor dalam kejohanan yang bermula hari ini dan berakhir Ahad ini.

Pengurus Pasukan, Nudin Awang berkata, pertemuan pertama malam ini menentang ATM menjanjikan satu pertemuan yang menarik, dan beliau berharap Kelantan tidak tercicir mata dalam perlawanan pembukaan ini bagi memburu impian bergelar selaku juara kumpulan B.

“Walaupun persiapan pasukan agak singkat, tetapi saya percaya adunan pemain lama dan baru dalam skuad ini, tambahan pula dengan pengalaman jurulatih, Zahasmi Ismail yang dibantu Afendi Yusof dan Hamid Ramli, kita mampu mengutip tiga mata dalam perlawanan malam ini.

“Kita mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap barisan pemain, walaupun terdapat beberapa pemain menghadapi masalah menyesuaikan diri kerana baru bersama pasukan. Namun, saya percaya masalah ini dapat diatasi apabila mereka turun beraksi menentang ATM malam ini.

“Dari segi komitmen yang diberikan oleh pihak pengurusan, kita sudah memberikan yang terbaik dan para pemain juga menunjukkan disiplin dan motivasi yang tinggi untuk mencapai sasaran yang ditetapkan oleh pihak pengurusan pada tahun ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Nudin juga mengesahkan, penyerang Liga Super Kelantan musim ini, Ramzul Zahini Adenan menjadi pemain terakhir dari slot lima pemain Liga Super yang dipilih oleh pihak pengurusan dalam memperkuatkan jentera serangan skuad Kelantan

“Ramzul (Zahini Adenan) menjadi pemain terakhir yang dipilih membarisi skuad ini. Walaupun sudah lama tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif, saya percaya pengalaman beliau beraksi sebagai penyerang utama Kelantan musim lalu, mampu mempertajamkan jentera serangan Kelantan.

“Kehadiran beliau mampu menyelesaikan masalah yang menghantui jentera serangan Kelantan yang agak tumpul dalam beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum ini. Beliau masih lagi mempunyai sentuhan sebagai penjaring gol penting untuk pasukan, walaupun sudah tidak lama beraksi,” katanya.

Sementara itu, Nudin berkata, beliau berharap semangat kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi hampir seminggu lalu, mampu diterjemahkan daripada sokongan peminat dengan hadir beramai-ramai ke stadium malam ini untuk memberi sokongan kepada pasukan Kelantan.

Kelantan turun beraksi menentang ATM pada jam 8.45 malam ini manakala dalam perlawanan terdahulu jam 4.45 petang ini, Pulau Pinang akan menentang Johor.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...