Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Tuesday, November 9, 2010

Kelantan mara ke suku akhir (Sinar Harian Online)



KOTA BHARU – Kelantan menepati ramalan awal apabila muncul juara kumpulan setelah mengalahkan Pulau Pinang 1-0 dalam perlawanan terakhir saingan Kumpulan B Kejohanan Piala Emas Raja-Raja Edisi ke-70 yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad ke IV Kota Bharu, malam semalam.

Sebelum itu, Kelantan terlebih dahulu mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir setelah membelasah ATM 5-1 dan mencatatkan kemenangan tipis 3-2 ke atas Johor dalam perlawanan kedua. Turut mengiringi Kelantan ke suku akhir ialah Johor yang muncul naib juara dengan mengutip enam mata.

Walau bagaimanapun, Kelantan perlu menunggu sehingga ke m-75 untuk memperoleh gol kemenangan setelah kedua-dua pasukan dilihat gagal menjaringkan gol rentetan beraksi di atas padang yang basah kerana hujan yang turun sebelum perlawanan itu.

Dalam perlawanan malam semalam, Kelantan yang menguasai hampir keseluruhan babak perlawanan bermula garang apabila mempunyai peluang terbaik pada m-11 menerusi penyerang Liga Super Kelantan, Ramzul Zahini Adenan tetapi rembatan beliau dari luar kotak penalti ditepis keluar penjaga gawang Pulau Pinang, Mohd Faizal Mohd Yusoff.

Pada m-16, Kelantan sekali lagi mensia-siakan peluang terbuka apabila Mohd Azhan Ismail gagal menyambar sepakan percuma Mohd Nurfafifi Othman biarpun pintu gol sudah ternganga.

Pasukan pelawat yang sudah tersingkir dalam saingan edisi kali ini turut mempunyai peluang menjaringkan gol menerusi percubaan jarak jauh Mohd Bassor Nadae pada m-29 namun sedikit tersasar sebelah kiri pintu gol Kelantan.

Kelincahan pemain muda Kelantan, Mohd Nurfafifi tidak dapat dibendung apabila beliau turut mempunyai dua peluang terbaik masing-masing pada m-33 dan 44 namun rembatannya diselamatkan Mohd Faizal yang merupakan penjaga gol Liga Super Pulau Pinang musim ini.

Babak kedua, Kelantan dilihat menguasai permainan namun ketumpulan jentera serangan serta kekentalan benteng pertahanan pasukan pelawat menafikan hasrat Kelantan untuk memburu gol pertama.

Dua peluang terbaik hadir pada m-65 dan 67 menerusi tandukan Kapten, Tengku Hazman Raja Hassan dan Mohd Nurfafifi namun ketangkasan Mohd Faizal di gawang gol Pulau Pinang sekali lagi menghampakan anak buah Zahasmi Ismail itu.

Usaha Kelantan untuk memburu jaringannya akhirnya berhasil pada m-75 apabila bekas pemain pertahanan KL Plus FC musim lalu, Khairan Ezuan Razali berjaya meledakkan rembatan kencang dari luar kotak penalti Pulau Pinang menghasilkan gol kemenangan Kelantan dalam perlawanan itu.

Kemenangan ketiga berturut-turut Kelantan dalam perlawanan peringkat kumpulan membolehkan muncul juara kumpulan B dan akan membuat perhitungan dengan pasukan naib juara daripada kumpulan A sama ada Negeri Sembilan atau Perlis pada peringkat suku akhir pada 13 November ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...