Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Saturday, November 6, 2010

Hong Aik tetap setia (Harian Metro Online)

Oleh Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my

PEMAIN paling senior skuad Negeri Sembilan, Ching Hong Aik tidak berhasrat berhijrah ke pasukan lain sebaliknya berharap kekal bersama pasukan itu bagi menghadapi cabaran Liga Malaysia musim depan.

Pemain tengah berpengalaman berusia 37 tahun itu mahu terus menabur bakti kepada skuad Hoben Jang Hoben selepas lebih enam tahun bersama skuad itu sejak dikendalikan jurulatih K Devan pada 2005 dan bertukar kepada Hatem Soussi sebelum diambil alih jurulatih Wan Jamak Wan Hassan.

“Kalau boleh saya ingin kekal bersama Negeri Sembilan bagi menghadapi Liga Malaysia musim depan kerana sudah serasi dengan pemain skuad berkenaan dan corak latihan yang dikendalikan Wan Jamak Wan Hassan.

“Malah, persefahaman antara saya dengan pemain lain dalam skuad ini termasuk kalangan pemain muda semakin kukuh kerana sudah lama bersama mereka iaitu sejak 2005 hingga musim ini,” katanya.

Pemain berasal dari Melaka ini mengesahkan kontraknya bersama Negeri Sembilan tamat 31 Oktober lalu iaitu sebaik tamat saingan musim ini.

Sejak Wan Jamak mengendalikan skuad Rusa bermula musim lalu, Hong Aik sering disenaraikan dalam kesebelasan utama dan menjadi tonggak penting membantu kepada kejayaan pasukan itu termasuk ketika menjulang Piala Malaysia musim lalu dan Piala FA musim ini.

Justeru, tidak hairanlah pemain veteran itu melahirkan rasa bangga kerana berjaya membantu Negeri Sembilan melakar sejarah tersendiri sepanjang mewakili pasukan itu.

Menurutnya, sepanjang tempoh bersama Negeri Sembilan, dia mengecapi kejuaraan tiga piala iaitu Liga Super pada 2006 dan Piala Malaysia tahun lalu serta Piala FA tahun ini.

Namun, dia mengaku sedikit terkilan kerana gagal membantu pasukan berkenaan mempertahankan trofi Piala Malaysia apabila Negeri Sembilan tewas kepada Kelantan 2-1 pada final, 30 Oktober lalu.

“Saya puas sepanjang bersama Negeri Sembilan dan saat paling menggembirakan ialah ketika memenangi Piala Malaysia tahun lalu tetapi agak terkilan tahun ini kerana gagal mempertahankan kejuaraan berprestij itu selepas tewas kepada Kelantan walaupun kami sebenarnya berpeluang mempertahankannya,” katanya.

Menurut Hong Aik, walaupun berstatus pemain paling tua, dia yakin mampu memberikan sumbangan bermakna kepada pasukan seperti mana dibuktikannya sepanjang saingan musim ini dan berharap khidmatnya bersama Negeri Sembilan dapat disambung Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).

Dia mengakui ada beberapa pasukan lain menghubunginya untuk bersama mereka musim depan tetapi belum memberikan jawapan kerana mahu meneruskan khidmat bersama pasukan lamanya itu.

“Kini saya menunggu perkembangan daripada PBNS sebelum membuat keputusan dan berharap PBNS dapat membuat pertimbangan kerana saya mahu meneruskan khidmat bersama pasukan ini,” katanya lagi

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...