Promosi Istimewa Untuk Pengunjung Blog Ini

Sahabat Blog Bola Sepak

Thursday, November 4, 2010

Harapan ke Piala AFF musnah (Utusan Malaysia Online)


PEMAIN pertahanan, Mohd. Aidil Zafuan Adha (kiri) tidak dapat beraksi mewakili negara gara-gara kecederaan yang dialaminya semasa mewakili Negeri Sembilan menentang Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia.


PETALING JAYA – Malang bertimpa buat pertahanan Negeri Sembilan dan kebangsaan, Mohd. Aidil Zafuan Adha Abdul Razak selepas disahkan mengalami kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) dan bakal menjalani pembedahan, esok di Hospital Pantai, Ampang.

Apa yang pasti, selepas pembedahan itu, Aidil terpaksa berehat sekurang-kurangnya enam bulan dan bukan sahaja terlepas peluang ke Sukan Asia malah terpaksa melupakan hasrat membantu skuad negara di Piala AFF.

Kecederaan itu mengikut jejak langkah kembarnya, Zaquan Adha Abdul Razak yang sebelum ini turut mengalami kecederaan ACL pada September lalu.

‘‘Melalui ujian imbasan bermagnet (MRI) yang dilakukan pada pagi tadi, doktor memberitahu ACL saya telah putus dan perlu menjalani pembedahan pada Khamis ini.

‘‘Jika sebelum ini saya fikirkan untuk beraksi di Piala AFF kerana menjangkakan hanya mengalami kecederaan meniskus tetapi keputusan MRI memusnahkan harapan saya,” katanya yang ditemui pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 100 Plus-FAM, semalam.

Aidil mendapat kecederaan tersebut pada perlawanan akhir Piala Malaysia baru-baru ini selepas dirempuh oleh penyerang Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha.

Ketiadaan Aidil mungkin memaksa jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal menyenaraikan pemain berpengalaman, Norhafiz Zamani Misbah di bahagian pertahanan untuk mengisi salah satu daripada tiga slot pemain senior di Sukan Asia.

Walaupun begitu, Aidil tetap berharap dapat membantu skuad kebangsaan di pusingan kelayakan Piala Dunia yang dijangka berlangsung pada bulan Mei atau Jun tahun hadapan.

‘‘Saya amat berharap Rajagobal dapat memberikan saya peluang beraksi bersama skuad negara selepas pulih nanti dan saya cuba untuk pulih secepat mungkin,” katanya.

Dalam masa sama, Aidil berkata, dia akan kekal bersama skuad Hoben Jang Hoben pada musim hadapan kerana masih mempunyai kontrak selama setahun.

‘‘Tahun hadapan, saya masih di Negeri Sembilan, begitu juga dengan kembar saya, Zaquan,” ujarnya.

Perkhabaran duka bagaimanapun terubat apabila Aidil diumumkan buat tahun kedua berturut-turut sebagai pemain pertahanan terbaik 2010.

‘‘Saya ucapkan terima kasih kepada panel pemilihan yang meletakkan saya sebagai pemenang di samping rakan-rakan dan jurulatih Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan yang banyak membantu menaikkan karier saya sebagai pemain.” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RSS Sinar Harian: Sukan

Berita Harian: Sukan

Harian Metro: Arena